Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    RKPA terus dikemaskini

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang mengemaskini Rangka Kerja Perkhidmatan Awam (RKPA), yang akan terus menumpukan kepada pengukuhan perkhidmatan awam dari aspek pembangunan kapasiti, kecemerlangan organisasi dan persekitaran properniagaan.

    Di antara program pembangunan kapasiti yang diungkayahkan ialah Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) dan program-program pembangunan kepimpinan seperti Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO); Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kerajaan Peringkat Pertengahan (EDPMMO); dan Program Eksekutif Muda (YEP). Program-program ini, selain membanyakkan lagi talent pool, ia juga bertujuan untuk mempersiapkan pegawai-pegawai perkhidmatan awam menjawat jawatan-jawatan di peringkat kepimpinan.

    Bagi mengukuhkan keberkesanan dan meningkatkan produktiviti, pembangunan kompetensi warga perkhidmatan awam turut diberikan keutamaan iaitu melalui Rangka Kerja Pembangunan Keupayaan Perkhidmatan Awam (PSCDF) yang sedang disediakan oleh Institut Perkhidmatan Awam.

    Demikian telah dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof ketika menjelaskan mengenai keutamaan ketiga Belanjawan Negara yang telah ditetapkan bagi JPM, iaitu Pembangunan Modal Insan yang Dinamik, Proaktif dan Inovatif.

    “Rangka kerja ini adalah bertujuan sebagai panduan yang menggariskan kompetensi-kompetensi teras bagi setiap peringkat peranan Perkhidmatan Awam untuk mengukur keupayaan atau kebolehan mereka. Institut Perkhidmatan Awam akan secara berterusan menyediakan program pembangunan modal insan bagi pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam agar dapat menyokong dan melaksanakan strategi, inisiatif dan program-program kementerian dan jabatan bagi menghasilkan pemberian perkhidmatan yang cemerlang,” jelas Yang Berhormat Pehin.

    Di samping itu, kursus-kursus upskilling dan reskilling bagi para pencari kerja di bawah Manpower Planning and Employment Council (MPEC) dan JobCentre Brunei akan terus dilaksanakan dengan kerjasama dengan institusi-institusi pendidikan di negara ini bagi menyediakan tenaga kerja yang marketable bagi pasaran kerja terutama di syarikat-syarikat swasta.

    “Inisiatif berterusan juga giat dilaksanakan dalam memperluaskan lagi peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan khususnya di syarikat-syarikat pengendali utama minyak dan gas melalui penguatkuasaan Arahan Bruneianisation atau Bruneianisation Directive,” tambahnya lagi.

    Terdahulu, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua telah menjelaskan mengenai program-program pembangunan kapasiti yang lain yang JPM akan terus laksanakan, termasuk Program Penempatan Kerja yang baru yang dikenali sebagai Program Perkembangan Perkhidmatan Awam ke Republik Singapura.

    Program tersebut, menurut Yang Berhormat Pehin, bertujuan untuk memberikan peluang kepada pegawai-pegawai dalam Perkhidmatan Awam yang berprestasi cemerlang untuk ditempatkan di agensi kerajaan atau agensi berkaitan kerajaan di Republik Singapura dalam tempoh tertentu mengikut bidang-bidang yang bersesuaian selaras dengan keperluan dan strategi kementerian-kementerian, jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan di Negara Brunei Darussalam.

    Beliau berharap kerjasama itu akan dapat mendatangkan manfaat dari segi pertukaran idea; pembelajaran daripada pengalaman dan amalan-amalan terbaik; peningkatan ilmu pengetahuan; pembinaan jaringan kerjasama; dan untuk mengeratkan lagi hubungan baik antara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

    “Di samping itu, Arahan Pembangunan Perniagaan Tempatan untuk Industri Minyak dan Gas akan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan ekosistem yang kompetitif bagi perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan seperti melalui program i-Usahawan,” tambahnya lagi.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...