KENINGAU, 2 Mei – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.025 juta untuk membiayai projek penempatan semula Batu Sumpah yang kini diletakkan di hadapan Pejabat Daerah Keningau.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata satu lokasi strategik dikenal pasti bagi menempatkan batu bersejarah itu, sekali gus memudahkan orang ramai atau pelancong melihat Batu Sumpah berkenaan yang juga menjadi mercu tanda utama di daerah itu.
“Projek yang dikategorikan di bawah Pelan Pusingan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia ke-11 itu merangkumi kerja-kerja seperti pemindahan Batu Sumpah, pembinaan jalan, tembok bersejarah dan penyediaan tempat letak kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 1Malaysia Voluntourism Plant A Tree dan Pelancaran Tahun Melawat Keningau 2018, di Muzium Warisan, dekat sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun.
Batu Sumpah merupakan satu peringatan sejarah yang sangat penting, bukan sahaja untuk daerah Keningau dan Sabah, tetapi juga pewujudannya berkait rapat dengan pembentukan Malaysia. – Bernama