RM114 juta ditemui dalam beg – PDRM

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan 35 daripada 72 beg yang dirampas di sebuah kondominium mewah di Jalan Raja Chulan di sini pada Jumaat lepas (18 Mei lalu) mengandungi wang tunai berjumlah RM114 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata baki 37 lagi beg pula mengandungi barangan mewah seperti jam tangan dan barang kemas.

Amar Singh berkata pihaknya selesai membuat proses pengiraan 35 beg mengandungi wang tunai kebanyakan Ringgit Malaysia (RM) dan Dolar Singapura (SD) selama tiga hari bermula Isnin lepas.

“Sebanyak 11 mesin kira digunakan serta 22 pegawai bank dan urusan mata wang terlibat melakukan proses pengiraan wang tunai ini.

“Setelah selesai proses pengiraan, kesemua wang tunai ini telah dihantar ke Bank Negara Malaysia,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ di Jalan Tun Razak di sini, hari ini.

Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh (tengah) ketika menjawab pertanyaan pengamal media pada sidang media khas di Menara 238 KPJ kelmarin. – Bernama

Menurut Amar Singh, baki 37 beg yang dirampas akan dinilai minggu depan dengan kerjasama daripada pakar.

“Polis akan bekerjasama dengan pakar yang berkaitan bagi menilai keaslian jam tangan, barang kemas dan beg tangan yang kebanyakannya adalah buatan Paris,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 12 lokasi di ibu negara diserbu dipercayai berkaitan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, 72 beg yang dirampas adalah dari sebuah kondominium mewah di Jalan Raja Chulan yang tidak mempunyai penghuni dipercayai milik individu bergelar Tan Sri.

“Polis jalankan pemeriksaan di tiga kondominium di Jalan Raja Chulan, dua milik anak Najib, Mohd Norashman dan Noryana Najwa manakala satu lagi tidak dihuni, ” katanya.

Dalam pada itu, Amar Singh berkata dalam serbuan di rumah Najib di Langgak Duta, polis merampas wang tunai pelbagai mata wang asing dianggarkan bernilai RM500,000 dan barangan mewah seperti jam tangan, barang kemas serta beg berjenama.

Beliau tidak menolak kemungkinan untuk memanggil anak Najib, Mohd Norashman dan Noryana Najwa bagi memberi keterangan susulan serbuan di dua premis mereka sebelum ini.

Menurutnya, setakat ini 30 individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan namun beliau enggan mendedahkan butiran tersebut. – Bernama