RM183 juta bagi pembangunan Sandakan

KUALA LUMPUR, 23 April – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM183 juta bagi membiayai 49 projek dan program di Sandakan, Sabah, bagi 2019.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan memberi penekanan yang serius ke atas pembangunan Sandakan bagi memastikan ia berkembang sebagai salah satu pusat perniagaan yang berdaya maju di sebelah timur Sabah.

Beliau berkata kesejahteraan ekonomi yang berterusan adalah sasaran utama yang bakal memanfaatkan hampir 400 ribu penduduk di daerah tersebut.

Lim berkata antara projek yang dikenal pasti adalah rancangan tebatan banjir Sungai Anip di Sandakan yang dianggarkan bernilai RM40 Juta, yang bakal memperbaiki sistem saliran dan menaik taraf sungai itu.

“Kerajaan juga telah meluluskan projek pembesaran Lapangan Terbang Sandakan bernilai RM80 Juta melibatkan antara lain pemanjangan landasan dan penambahbaikan apron bagi meningkatkan keupayaan lapangan terbang tersebut,” katanya.

Selain itu, katanya, beberapa projek lain bagi peningkatan kedudukan ekonomi di Sandakan terus diberi penekanan merangkumi projek bagi industri berasaskan minyak dan kelapa sawit serta penyediaan kemudahan jaringan pengangkutan yang bakal merancakkan lagi ekonomi setempat. – Bernama