RM20 bilion rancakkan ekonomi

KUALA LUMPUR, 27 FEB – Kerajaan hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion yang ditunjangi tiga strategi utama bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak COVID-19 ketika ini dapat ditangani dengan berkesan.

Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiga strategi tersebut ialah menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti untuk memastikan ekonomi negara berada di landasan yang mampan.

“Selain merangsang pelancongan dan modal insan, pakej ini juga memberi fokus membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan bagi syarikat yang terjejas oleh COVID-19,” katanya dalam ucapan beliau ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi 2020 yang bertemakan ‘Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan’, hari ini.

Ini merupakan pakej rangsangan berkaitan krisis kesihatan global yang kedua bagi Dr Mahathir selepas 2003 apabila beliau sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia pada masa itu membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani kesan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) ke atas ekonomi.

Dr Mahathir berkata untuk membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan syarikat yang terjejas oleh COVID-19, bagi tempoh enam bulan mulai April hingga September 2020, kerajaan telah mencadangkan beberapa tindakan diambil.

Pertamanya, membenarkan penundaan ansuran bulanan cukai pendapatan bagi perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan.

Kedua, menyediakan diskaun sementara selama enam bulan sebanyak 15 peratus daripada bil elektrik secara bulanan bagi hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat membeli belah, pusat konvensyen dan pameran. Ketiga, mengecualikan levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi hotel dan syarikat pelancongan manakala yang keempat mengecualikan cukai perkhidmatan bagi hotel.

Bagaimanapun inisiatif ini akan bermula lebih awal iaitu pada bulan Mac hingga Ogos 2020.

Selain itu, kerajaan juga akan menyediakan tabungan pinjaman kewangan kepada syarikat yang terkesan. -Bernama

Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad menerima buku Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir di Perdana Putra, kelmarin. – Bernama