Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    RM206 juta naik taraf Jalan Utara Baru

    TAWAU, 13 MAC – Kerajaan memperuntukkan RM206 juta bagi pelaksanaan naik taraf Jalan Utara Baru di sini sepanjang 5.4 kilometer yang dijangka siap pada Mac 2026, kata Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.

    Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata projek dimulakan 6 Mac lepas membabitkan naik taraf jalan sedia ada daripada satu lorong dua hala kepada dua lorong dua hala, di samping skop pembinaan lain termasuk kerja menaik taraf enam bulatan iaitu Airport Lama, Hilltop, Taman Ria 10, Kompleks Sukan, Taman Ria 11 dan Utara Baru.

    “Hal ini jelas membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan infrastruktur yang berterusan memberi manfaat kepada penduduk, dan ketika ini juga terdapat banyak lagi projek untuk menaik taraf jalan-jalan lain di negeri ini dan masih menunggu kelulusan peruntukan daripada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek menaik taraf Jalan Utara Baru, hari ini.

    Dalam pada itu katanya, kerajaan berharap projek naik taraf Jalan Utara Baru itu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, menjimatkan masa perjalanan sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk serta secara tidak langsung membuka peluang kepada penjanaan sosioekonomi kawasan sekitar.

    “Diingatkan supaya kontraktor yang terpilih untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan ini mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan, selain pemantauan secara berkala oleh Jabatan Kerja Raya juga adalah  penting untuk memastikan kemajuan dan kualiti kerja projek ini berada dalam kawalan,” katanya.

    Sementara itu, Shahelmey berkata pihaknya akan membuat penelitian terhadap sebarang struktur yang terlibat dalam projek berkenaan sama ada termasuk dalam rizab jalan, tanah kerajaan negeri mahupun tanah persendirian.

    “Kita akan memberi pampasan sewajarnya terhadap mana-mana pemilik tanah persendirian yang terlibat dalam projek ini,” katanya. – Bernama

    Diharapkan projek naik taraf tersebut dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. – Agensi  
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...