JOHOR BAHRU, 6 NOV – Polis menerima 13 laporan berhubung kes penipuan pelaburan melibatkan kerugian berjumlah RM3.3 juta di negeri ini, bermula Rabu lepas sehingga kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata mangsa terdiri daripada individu berusia antara 21 hingga 65 tahun dengan kerugian yang dialami mereka sekitar RM2,430 sehingga RM864,303.
Beliau berkata kes pertama melibatkan pelaburan forex melalui sebuah laman sesawang yang dipercayai beroperasi di luar negara dengan kerugian keseluruhan adalah RM1.98 juta membabitkan tiga mangsa warga Malaysia.
“Mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, berusia antara 49 hingga 65 tahun, tertarik dengan tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan serta jaminan wang pokok.
“Mangsa telah berkomunikasi dengan penganjur melalui aplikasi Zoom dengan pembayaran pelaburan dilakukan melalui aplikasi Huobi serta urusan pelaburan akan dilakukan oleh ‘upline’ mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kamarul Zaman berkata ketiga-tiga mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah gagal untuk mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh dan syarikat yang menganjurkan pelaburan berkenaan gagal dihubungi. – Bernama