RM3 juta untuk baik pulih 200 rumah nelayan di Beluran

BELURAN, 6 SEPT – Sebanyak RM3 juta akan disalurkan bagi Projek Khas Perumahan Nelayan di Beluran, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hari ini.

Katanya, projek itu akan dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membaik pulih 200 rumah nelayan di daerah itu, pada tahun ini dan tahun depan.

“Projek ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat. LKIM telah pun membaik pulih 152 rumah nelayan di Beluran sebelum ini dan akan membaik pulih 200 lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mini Karnival Industri Makanan Beluran 2020, di sini hari ini.

Kiandee turut memaklumkan sebuah bank dijangka akan diwujudkan di pekan Beluran tahun ini.

Menurutnya, bank berkenaan iaitu Agrobank kini sedang dalam proses untuk mendapatkan lot kedai di daerah itu.

“Ketika ini, Beluran cuma ada sebuah mesin juruwang automatik (ATM) dan dengan sebuah bank di Beluran ini akan memberi kemudahan perbankan kepada penduduk di daerah ini,” katanya. – Bernama