RM35.5 juta untuk bantuan makanan sepanjang PKP

KUCHING, 8 JUN – Kerajaan negeri Sarawak memperuntukkan sejumlah RM35.5 juta, bagi  tujuan bantuan bekalan makanan untuk golongan B40 di bawah pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sehingga 14 Jun depan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sejumlah 472,923 ketua isi rumah (KIR) di seluruh negeri ini layak menerima bantuan itu, iaitu sejumlah 49,811 daripada KIR telah menerima bantuan mereka setakat ini.

“Diharap rakyat Sarawak yang masih belum menerima bantuan makanan bersabar menunggu, kerana pengagihan mungkin mengambil sedikit masa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, sepanjang tempoh PKP ini,” katanya pada sidang media selepas simbolik penyerahan Bantuan Makanan di Masjid Darul Ehsan Kampung Haji Baki di sini hari ini.

Abang Johari berkata, bagi memastikan bantuan makanan dapat diagihkan segera selewat-lewatnya pada 11 Jun depan, pelbagai jenis pengangkutan seperti pengangkutan udara, darat dan air  akan turut digunakan, terutamanya di kawasan yang sukar untuk diakses.

Beliau berkata, Kerajaan negeri Sarawak akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia dan pelbagai lagi agensi kerajaan yang berkaitan (untuk mempercepatkan penyampaian bantuan), dan menyeru agar seluruh rakyat terus mematuhi SOP bagi mengatasi penularan COVID-19.