Friday, October 11, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    RM3j diperuntukkan cegah hakisan tebing sungai

    GUA MUSANG, 18 Ogos – Jabatan Perhutanan Kelantan akan membelanjakan RM3 juta bagi projek tanaman pokok di beberapa tebing sungai di Kelantan tahun ini untuk mengatasi masalah hakisan setiap kali banjir berlaku.

    Pengarahnya Datuk Zahari Ibrahim berkata antara pokok yang sesuai ditanam bagi mengatasi masalah hakisan tebing sungai ialah pokok Blue Quandong atau lebih dikenali pokok rendang yang cukup kuat dan boleh membesar sehingga ketinggian 50 meter.

    “Sebelum pokok itu ditanam secara menyeluruh, pihaknya akan mengatur program menyusuri Sungai Kelantan terlebih dahulu bagi mengenal pasti tumbuhan semula jadi sedia ada dalam kawasan tebing berkenaan,” katanya semasa menyampaikan taklimat pada Program Penghijauan D’Raja di Tebing Sungai Ketil di sini, hari ini.

    Pada program itu, Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra berkenan menanam pokok Blue Quandong di Tebing Sungai Ketil, disaksikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan pegawai kanan kerajaan.

    Zahari berkata pihaknya akan menanam 30 pokok jenis itu di kawasan tebing Sungai Ketil kerana ia sesuai berdasarkan kesuburan tanah dan alam semula jadi.

    Mengenai desakan sekumpulan masyarakat Orang Asli di Gua Musang supaya jabatan itu menarik balik lesen pembalakan yang diberikan kepada syarikat tertentu susulan aktiviti yang didakwa menjejaskan masyarakat di situ, Zahari berkata pihaknya tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya kerana setiap lesen adalah mengikut peraturan dan syarat yang ketat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda