RM7.5 juta untuk bantu ukur tanah hak adat Sarawak

KUCHING, 8 JULAI – Baru sekitar tiga bulan menerajui kepimpinan negara, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah bersetuju menyumbang RM7.5 juta bagi membantu Sarawak meneruskan inisiatif mengukur tanah hak adatnya.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata peruntukan itu diberikan walaupun semasa kerajaan persekutuan sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, terutama yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19.

“Walaupun banyak cabaran-cabaran seperti mengurus (ekonomi), bagaimana hendak membantu rakyat yang kehilangan pendapatan… kerajaan Perikatan Nasional ini bagi RM7.5 juta untuk kita teruskan (kerja-kerja mengukur tanah hak adat di Sarawak),” katanya semasa berucap di majlis penyerahan hak milik tanah kepada pemilik tanah di Kampung Pueh, Sematan, kira-kira 104km dari sini.

Beliau berkata peruntukan persekutuan merupakan perkara utama dalam komitmen kerajaan Sarawak, di mana Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan peruntukan RM40 juta khusus bagi meneruskan pelaksanaan kerja-kerja mengukur tanah adat negeri, yang sehingga kini meliputi kawasan seluas 934,288 hektar.

“Dalam tempoh yang singkat iaitu dalam tempoh 10 tahun (sejak 2010), output kita (menerusi kaedah penyukatan perimeter) lebih 20 kali ganda dan secara purata kita boleh menyukat 103,800 hektar setahun,” katanya. – Bernama