Sunday, December 15, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    RM9.7 juta selenggara lampu jalan, lampu isyarat di Sabah

    KUALA LUMPUR, 25 NOV – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan keseluruhan permohonan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat bagi tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM9.7 juta.

    Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pelaksanaan kerja penyelenggaraan itu dilakukan secara berfasa dengan fasa pertama melibatkan peruntukan RM7 juta yang diluluskan pada Januari, manakala fasa kedua peruntukan tambahan RM2.7 juta yang diluluskan pada Ogos.

    “Bagi daerah Tawau, RM1.05 juta diluluskan untuk menangani tunggakan (backlog) penyelenggaraan lampu jalan…melalui peruntukan tersebut banyak lampu jalan yang telah dibaiki dan masalah jalan gelap di kawasan berisiko telah diambil tindakan,” katanya.

    Beliau menjawab soalan Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai jaminan penyaluran peruntukan bagi menyelesaikan masalah penyelenggaran lampu jalan Persekutuan di Tawau yang tidak mendapat peruntukan sejak 2022 sehingga menyebabkan jalan sangat gelap dan berlakunya kemalangan.

    Ahmad berkata pada 2022, KKR telah meluluskan RM1.7 juta bagi peruntukan penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat bagi Sabah manakala untuk 2023, sebanyak RM1.4 juta telah diluluskan. – Bernama

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda