RMK12 bawa Keluarga Malaysia ke hadapan, struktur semula ekonomi

KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang merangkumi separuh pertama pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bakal membawa Keluarga Malaysia ke hadapan dengan menstruktur semula ekonomi negara sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelan pembangunan 2021-2025 dengan objektif ‘Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’ bertujuan menangani isu semasa, memulih serta merancakkan semula pembangunan sosioekonomi negara untuk kemampanan dan kemakmuran jangka panjang.

“RMK12 ialah agenda besar pemulihan negara dalam usaha kerajaan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat serta menjana semula dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.

“Sungguhpun Malaysia berada dalam tempoh sukar pandemik COVID-19, kita, sebagai Keluarga Malaysia berpeluang menyusun semula ekonomi negara dan terus bersama mengorak langkah ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam prakata dokumen RMK12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, hari ini.

Ismail Sabri berkata RMK12 adalah bukti komitmen kerajaan dalam meneraju dan menyusun langkah bagi mendepani apa jua situasi dan ia dirangka berdasarkan pendekatan dari bawah ke atas, dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata dalam penyediaan RMK12, libat urus yang menyeluruh telah diadakan secara fizikal dan maya membabitkan kementerian, agensi, kerajaan negeri, Ahli-ahli Parlimen, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil, organisasi antarabangsa dan orang awam. – Bernama

Warga emas menjadikan perhentian bas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), George Town sebagai tempat tinggal mereka kemungkinan berikutan masalah kewangan akibat pendemik wabak COVID-19. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan Usul Mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, semalam. – Bernama