RMK12: Malaysia perlukan pelaburan bersifat teknologi baharu

KUALA LUMPUR, 28 SEPT – Malaysia lebih memerlukan pelaburan yang bersifat teknologi baharu merangkumi pembangunan sistem digital yang akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata negara kini tidak lagi memerlukan pelaburan berbentuk infrastruktur sebaliknya lebih cenderung untuk dapat memanfaatkan pelaburan yang akan meningkatkan proses pendigitalan sektor ekonomi. “Menerusi RMK12, negara menyasarkan pelaburan dari sektor swasta meningkat kepada RM258 bi-lion menjelang 2025 manakala pelaburan dari sektor awam sebanyak RM80 bilion. 

“Ciri-ciri pelaburan yang diperlukan negara ketika ini adalah dalam bentuk penyediaan sistem pendigitalan yang akan membolehkan kita melaksanakan proses automasi dan sebagainya,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, semalam. 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata RMK12 adalah sebuah pelan jangka panjang yang dirangka di peringkat makro dengan mengambil kira sasaran Malaysia ke arah sebuah negara maju. 

“Selepas ini, akan ada kumpulan pelaksana yang akan memperincikan setiap dasar di peringkat mikro dan merangka pelan pelaksanaan yang akan dijalankan oleh pemegang taruh di kementerian dan agensi. – Bernama