Robert Kuok kekal nombor satu

SINGAPURA, 5 MAC – Ekonomi Malaysia yang lembap, kini dilanda COVID-19, telah memberi kesan kepada hartawannya, menurut Forbes Asia yang mengeluarkan Senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2020 hari ini.

Forbes Asia berkata kekayaan 50 hartawan Malaysia merosot untuk tahun kedua berturut-turut berikutan ringgit yang rendah dan susut hampir 10 peratus dalam indeks saham penanda aras negara.

Nilai bersih terkumpul mereka berjumlah AS$79 bilion merosot 7 peratus berbanding tahun lepas, katanya.

Legenda perniagaan, Tan Sri Robert Kuok berada pada kedudukan nombor satu lagi dengan nilai bersih AS$11.5 bilion, kedudukan yang dipegang selama lebih dua dekad.

Kuok antara empat dalam senarai yang kekayaannya merosot lebih AS$1 bilion pada tahun lepas.

Mengekalkan kedudukannya dalam senarai nombor dua ialah Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong, yang menambah AS$300 juta dalam kekayaannya sebanyak $9.7 bilion. – Bernama