‘Robin Hood Villarramiel’ muncul di Sepanyol

MADRID, 14 Mac – Penduduk di sebuah kampung kecil di Sepanyol menjadi tertanya-tanya selepas seorang penderma misteri meninggalkan sampul surat mengandungi wang dalam peti surat atau di bawah pintu rumah mereka.

Sejak Rabu minggu lalu, kira-kira 15 orang di Villarramiel, utara Sepanyol menerima sampul surat mengandungi wang sehingga 100 euro, kata Datuk Bandar, Nuria Simon kepada AFP.

Penduduk tempatan kini sedang mencari jawapan mengapa sekumpulan individu yang tiada hubungan dengan kampung 800 penduduk itu memberikan hadiah. Ada beberapa laporan media Sepanyol menggelar lelaki itu sebagai ‘Robin Hood Villarramiel’.

“Kami semua keliru dan mengharapkan jawapan kerana kami tidak tahu dari mana datang duit ini atau siapa penerima sepatutnya. Kami tidak tahu apa niat mereka,” kata Simon.

Sebahagian daripada mereka ada yang menerima wang dalam sampul surat coklat, ada juga menerima mesej termasuk nama pe-nerima, alamat dan ayat seperti ‘puteri istana’ dengan simbol hati.

“Seorang balu yang tinggal bersama anak lelaki, pasangan dengan anak kecil, pasangan warga emas, pasangan umur pertengahan yang tiada anak,” katanya sambil menambah tiada kaitan jelas antara penerima bungkusan.

Ada penerima wang itu sudah melaporkannya kepada polis selain untuk memastikan wang itu bukan palsu. Hasilnya, wang itu adalah tulen. Bagaimanapun, tiada siasatan dibuka kerana tiada kesalahan dilakukan sesiapa, setakat ini, kata Simon. – AFP