LOS ANGELES, 10 MEI – Pemain pertahanan Amerika Syarikat, Miles Robinson mungkin terlepas Piala Dunia tahun ini selepas kelabnya kelmarin mengesahkan bahawa dia mengalami kecederaan Achilles ketika bermain untuk kelabnya pada hujung minggu lalu.
Robinson, yang membuat penampilan 13 kali untuk AS dalam kempen kelayakan 14 perlawanan akhir CONCACAF, mengalami kecederaan Sabtu lalu ketika bermain untuk Atlanta dalam kemenangan 4-1 ke atas Chicago.
Atlanta mengesahkan kecederaan itu dalam satu kenyataan kelmarin, dan menambah bahawa Robinson akan menjalani pembedahan pada hari tersebut.
Pemain berusia 25 tahun itu telah menjadi pilihan utama untuk jurulatih AS, Gregg Berhalter sejak diangkat ke skuad senior, dan dijangka untuk bermain semasa Piala Dunia tahun ini bersama rakan tetap Walker Zimmerman.
Peluang Robinson untuk kembali cergas untuk Qatar kini tipis, di mana lawan bagi pusingan pertama AS adalah termasuk England dan Iran.
Walaupun empat hingga enam bulan ialah tempoh masa yang biasa untuk kembali ke aktiviti ringan selepas keretakan Achilles, akan tetapi pemulihan sepenuhnya boleh mengambil masa sehingga setahun. – AFP
