Robot bantu ceriakan pesakit COVID-19

TOKYO, 1 MEI – Kuarantin koronavirus boleh menimbulkan rasa kesepian, tetapi di sebuah hotel Tokyo yang diubahsuai untuk menerima pesakit dengan gejala ringan, robot manusia digunakan untuk memberikan dorongan dan sokongan, serta teguran dan amaran.

“Anda tidak boleh memerangi koronavirus dengan perut kosong. Tolong makan dengan baik supaya kembali sihat” adalah antara pesanan yang disampaikan oleh robot Pepper kepada pesakit koronavirus yang dikuarantin di salah sebuah hotel di Tokyo.

Kerajaan tempatan telah bekerjasama dengan hotel untuk mendapatkan bilik untuk pesakit dengan gejala ringan, berharap memberikan ruang kepada hospital yang dibelenggu bebanan.

Di sebuah hotel, pesakit yang tiba akan berinteraksi dengan Pepper, robot manusia dengan mata bulat dan tablet dipasang di depan, yang akan memakai penutup mulut dan hidung semasa bertugas di hotel.

“Pesakit dikuarantin selama dua minggu, maka kami menggunakan robot resepsi untuk membantu pesakit rasa lebih selesa dari segi mental,” beritahu jurucakap kerajaan Tokyo Naoko Kubota kepada wartawan.

“Memandangkan pesakit dijangkiti COVID-19 tidak dapat berinteraksi dengan orang, di sinilah robot digunakan,” kata Kan Kiyota, pengarah pemasaran SoftBank, yang mencipta robot Pepper.

Pepper dijangka berinteraksi dengan pesakit di kaunter resepsi dan ketika makan, menawarkan pesanan termasuk ‘Kami semua menyokong kamu’ dan ‘saya memberikan semangat kepada kamu! Tolong berehat sementara kamu berada di sini dan cepat sembuh!” – AFP

Gabenor Tokyo Yuriko Koike (kanan) melihat pada robot Pepper ketika beliau melawat sebuah hotel untuk menempatkan pesakit COVID-19 kelmarin. – AFP