Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Robot canggih bantu penternak lebah Israel

    BEIT HAEMEK, ISRAEL – Mereka berfungsi sebagai sarang lebah biasa, tetapi apiari yang dibina di kibbutz di kawasan Galilee, Israel, dipasang dengan sistem kecerdasan buatan canggih yang dijangka dapat menjamin jangka hayat lebih panjang untuk pendebungaan penting bagi lebah.

    “Terdapat dua juta ekor lebah di sini,” kata Shlomki Frankin ketika dia berjalan ke dalam kontena seluas 12 meter persegi di Kibbutz Beit Haemek di utara Israel.

    Digelar ‘Beehome’, projek berkenaan merupakan gagasan sebuah firma baharu Israel dan menempatkan sehingga 24 sarang lebah, jelas Frankin, memakai topi yang mempunyai vel untuk melindungi dirinya daripada sengatan lebah.

    Lelaki berusia 41 tahun itu memberitahu AFP sarang lebah itu memaparkan robot serba guna yang melakukan segala-galanya daripada mengawasi lebah kepada menyelaraskan habitat dan memberikan jagaan kepada lebah.

    Firma baharu Beewise mengemukakan idea tersebut dalam usaha untuk mengurangkan kadar kematian dalam spesies yang telah menyaksikan kemerosotan mendadak dalam tempoh beberapa tahun lalu disebabkan ancaman alam sekitar.

    Seorang penternak menggunakan sarang lebah canggih di Kibbutz Bet Haemek di utara Galilee, Israel. – AFP
    Seorang jurutera mendirikan sarang lebah baharu, sebahagian daripada projek canggih Beehome, di Kibbutz Bet Haemek, utara Galilee, Israel. – AFP
    Penternak lebah menunjukkan kawanan lebah dalam sarang baharu di Kibbutz Bet Haemek. – AFP
    Penternak lebah menunjukkan kawanan lebah dalam sarang baharu di Kibbutz Bet Haemek. – AFP

    “Robot-robot berkenaan dilengkapi dengan sensor yang membenarkannya mengetahui apa yang berlaku dalam bingkai sarang lebah,” kata Netaly Harari, pengarah operasi di Beewise.

    “Disebabkan teknologi kecerdasan buatan, perisian kami mengetahui apa yang diperlukan oleh lebah,” jelasnya di bengkel di mana sarang lebah dipasang.

    Robot tersebut secara automatik mampu memberikan gula, air dan ubat.

    Sekiranya masalah timbul, penternak lebah akan dimaklumkan menerusi satu aplikasi, membenarkannya mengatasi masalah menerusi komputer, atau secara fizikal jika perlu.

    Sarang lebah beroperasi menggunakan tenaga solar, mempunyai suhu yang boleh diselaraskan, menghapus haiwan perosak malah boleh mengeluarkan madu secara automatik menggunakan sistem pengempar bersepadu, menurut Harari.

    Menjelang hujung Mei, firma itu berharap dapat menghasilkan madunya sendiri buat kali pertama – ‘madu pertama di dunia yang dihasilkan menerusi kecerdasan buatan.’

    Bagi Frankin, ‘robot-robot berkenaan adalah alat untuk penternak lebah, tetapi bukan sebagai pengganti penternak lebah.’

    Mereka ‘menjimatkan banyak masa,’ tambahnya, kerana robot membenarkannya ‘melakukan banyak kerja-kerja mudah secara dalam talian.’

    Kira-kira satu ratus daripada sarang lebah canggih berkenaan telah pun beroperasi di Israel, dengan satu dozen yang lain dihantar ke Amerika Syarikat.

    Beewise kini sedang mengintai pasaran di Eropah dalam dua tahun ini.

    Dilancarkan pada 2018, firma baharu itu menggaji 100 pekerja dan pada April berjaya mengumpul kira-kira AS$80 juta untuk mengembangkan eksportnya.

    Menurut profesor Sharoni Shafir, yang mengetuai pusat penyelidikan lebah di kampus Rehovot Universiti Jerusalem, teknologi itu boleh membantu melindungi koloni lebah yang semakin terancam.

    “Ada kalanya, seorang penternak lebah mengambil masa beberapa bulan untuk menyedari terdapatnya sesuatu masalah,” beritahunya kepada AFP, menambah ‘dengan adanya robot berkenaan, penternak boleh mengatasi masalah dalam masa nyata, sekali gus mengurangkan kadar kematian lebah’.

    Satu dalam enam spesies lebah telah pupus di dunia, dengan punca utama dipercayai kehilangan habitat dan penggunaan racun perosak, menurut satu kajian pada 2019.

    Shafir memberikan salah satu contoh paling ketara iaitu ‘kemerosotan dalam bunga-bunga disebabkan pembinaan, yang telah mengurangkan sumber dan diversiti makanan untuk lebah.’

    Selain daripada itu, faktor kepupusan juga berpunca daripada penyakit dan haiwan perosak, misalnya varroa destructor, sejenis hama yang memberikan kesan teruk ke atas lebah madu, jelas profesor lebih lanjut.

    “Di sini, antara 20 dan 30 peratus sarang lebah lenyap setiap tahun,” menurut pakar entomologi itu.

    Beliau mendapati sebahagian besar makanan yang dimakan orang adalah hasil daripada pendebungaan silang oleh lebah dan serangga lain.

    Lebih 70 peratus daripada tanaman, termasuk hampir kesemua buah, sayur, biji sesawi, kelapa sawit, padi, rempah, kopi dan koko semuanya bergantung pada ejen pendebungaan.

    Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) pada 20 Mei meraikan Hari Lebah Sedunia, yang berhasrat menekankan kepentingan memelihara spesies lebah.

    “Lebah dan ejen pendebungaan lain telah hidup membiak selama berjuta-juta tahun, memastikan jaminan makanan dan pemakanan, serta mengekalkan biodiversiti dan ekosistem yang mempan,” menurut FAO.

    “Kami amat bergantung pada lebah berkenaan” ujar Shafir. – AFP

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...