Robot pelayan jaga jarak fizikal pelanggan di restoran

KAHERAH – Ketika dunia global masih di bawah ancaman COVID-19, langkah-langkah penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan diri merupakan cara yang paling terbaik untuk mencegah jangkitan virus.

Sebagaimana di restoran-restoran menerapkan beberapa langkah pencegahan penularan seperti melakukan pemeriksaan suhu badan pelanggan sebelum memasuki kedai, mengehadkan keramaian di dalam kedai dan menjarakkan kedudukan meja dan kerusi antara pelanggan yang lain.

Dalam masa yang sama, ketika dunia semakin maju dengan kecanggihan teknologi, langkah penjarakan fizikal ini dapat diterapkan dengan penggunaan robot. Di mana, robot dijadikan sebagai ganti manusia untuk melayan pelanggan yang datang dan memberikan lebih keyakinan dalam diri pelanggan terhadap keselamatan dalam restoran dari ancaman virus. Di samping itu, penggunaan robot ini juga sebagai satu tarikan kepada pelanggan untuk mengunjungi restoran mereka.

Buat pertama kalinya di Mesir, sebuah restoran telah menggunakan robot untuk membantu melayani pelanggan untuk menjaga jarak fizikal di tengah pandemik COVID-19. Di Restoran dan Kafe Kimbo di daerah kelas atas Kota Nasr di timur Kaherah, robot yang memakai hitam dan putih, bernama Mozo yang membawa maksud kepada pelayan dalam Bahasa Sepanyol, sedang menyambut para tamu dan menerima pesanan.

“Saya sangat teruja mempunyai robot yang menawan hati untuk mengurangkan hubungan manusia dan meningkatkan kriteria kebersihan di sini,” kata Mohamed Bassam, seorang pegawai bank berusia 33 tahun, sambil menekan skrin robot untuk memilih makanannya.

Restoran dan Kafe Kimbo di daerah kelas atas Kota Nasr di timur Kaherah, menggunakan robot bernama Mozo menyambut para tetamu dan menerima pesanan. – Xinhua
Seorang pelanggan mengambil pesanan dari Mozo. – Xinhua
Seorang pelayan menetapkan meja pelanggan untuk Mozo menghantar makanan. – Xinhua

Robot ini akan menarik minat orang ramai terutama kanak-kanak yang ingin mempunyai pengalaman baharu, katanya, sambil menyatakan harapan untuk melihat lebih banyak robot di pasar raya dan pusat membeli-belah.

“Kami prihatin dengan penularan koronavirus, tetapi robot memberi saya rasa aman kerana membatasi interaksi antara orang ramai,” kata Bassam.

Mohamed Koriem, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Ghraghar yang memiliki dan mengendalikan kedai kopi Kimbo Mesir, mengatakan robot itu telah meyakinkan para pelanggan bahawa jarak fizikal dapat diterapkan melalui teknologi.

“Ramai orang datang ke restoran setelah mengetahui mengenai robot dari media sosial dan meminta Mozo untuk melayani mereka,” tambahnya.

Setelah memberi salam kepada pelanggan, Mozo akan menyajikan minuman dan hidangan. Robot itu bahkan dapat mengembalikan gelas terpakai ke dapur. Apabila menerima pesanan dari robot, para tukang masak di dapur akan mula membuat makanan dan minuman dengan segera.

Mozo mengeluarkan suara ketika membawa makanan, dan ketika pelanggan mengambil pinggan, sensor akan memberi isyarat kepada robot untuk pergi.

“Robot diseterilkan sepenuhnya selepas setiap pesanan,” kata Koriem.

Dia mengatakan robot itu telah dilatih untuk mendekati meja tanpa kemalangan dan untuk menjawab beberapa soalan umum seperti jenis keju, roti dan minuman, serta suhu.

Perkhidmatan robotik akan ditambahkan ke cabang-cabang lain di Kimbo, kata Alaa al-Howeny, pengurus penjualan Marses Robotic Solutions, sebuah syarikat Mesir yang bekerja dalam merancang, membuat, memprogram dan mengintegrasikan penyelesaian penuh robot.

Menurut Howeny, kos robot berbeza dari AS$10,000 hingga AS$50,000 bergantung pada spesifikasi dan perkhidmatan yang akan ditawarkannya. Tetapi robot itu tidak dapat menggantikan pekerja sepenuhnya kerana ia akan mengurangkan pekerja manusia hanya satu peratus dalam 15 tahun akan datang, katanya.

Mesir membuka kembali kafe dan restorannya dengan kapasiti 50 peratus pada awal bulan Julai setelah langkah-langkah ketat telah diterapkan selama tiga bulan untuk membatasi penyebaran COVID-19. – Xinhua