Robot pemandu pelancong luar biasa di Gua Alistrati

ALISTRATI, GREECE – Persephone ialah pemandu pelancong di Greece, tetapi mungkin bukan jenis yang biasa dilihat oleh orang.

Digelar sebagai robot pemandu pelancong pertama di dunia dalam sebuah gua, Persephone telah mengalu-alukan kedatangan pelawat sejak pertengahan Julai ke Gua Alistrati di utara Greece, 135 kilometer dari timur laut bandar Thessaloniki.

Robot berbilang bahasa itu membawa pelancong untuk jarak 150 meter pertama kawasan dalam gua yang dibuka kepada orang awam. Jarak selebihnya 750 meter, seorang pemandu manusia akan mengambil alih peranan tersebut. 

Robot itu dinamakan Persephone disebabkan, menurut salah satu versi kisah dongeng Greece, di dataran berhampiran Pluto, dewa alam ghaib yang juga dikenali sebagai alam roh Hades – menculik Persephone, dengan kebenaran daripada bapanya Zeus, untuk mengambilnya sebagai isteri.

Robot itu boleh memandu pelancong dalam 33 bahasa dan berinteraksi pada tahap asas dengan pelancong dalam tiga bahasa. Ia juga boleh menjawab 33 soalan, tetapi hanya dalam bahasa Greece.

Seorang pemandu memprogramkan Persephone dalam gua Alistrati, 135 kilometer dari timur laut Thessaloniki, Greece. – AP
Persephone memandu pelawat dalam gua Alistrati, kira-kira 135 kilometer dari timur laut Thessaloniki, Greece. – AP

Nikos Kartalis, pengarah saintifik untuk laman Alistrati, mengemukakan idea mencipta robot berkenaan apabila beliau ternampak satu di televisyen di mana robot membawa pelawat di sebuah galeri seni. Tujuh belas tahun kemudian, ‘kami menerima dana kani dan pemandu robot menjadi satu realiti,” beritahu Kartalis kepada The Associated Press.

Robot itu dibangunkan oleh Yayasan Teknologi dan Penyelidikan Nasional dan berharga 118,000 euro (AS$139,000).

“Kami telah pun mencatat peningkatan 70 peratus dalam pelawat berbanding tahun lalu sejak kami mula menggunakan robot berkenaan,” kata Kartalis.

“Orang ramai berasa teruja, terutamanya kanak-kanak, dan orang yang pernah melawat sebelum ini telah kembali semula untuk melihat pemandu robot.”

“Bagi mereka, ia merupakan sesuatu yang belum pernah dilihat, yang mana mereka boleh berinteraksi dengan robot dengan bertanyakan soalan dan robot menjawab soalan mereka,” kata beliau.

“Ramai pelancong asing tidak percaya Greece mempunyai kemampuan membangunkan sebuah robot dan menggunakannya sebagai pemandu dalam gua.”

Robot itu bergerak di sepanjang laluan pejalan kaki, melalui landskap yang penuh dengan hiasan stalaktit dan stalagmit. Pelbagai variasi pembentukan landskap berkenaan boleh mencecah sehingga 15 meter tinggi dan dapat dilihat di laluan pejalan kaki sepanjang 1 kilometer, yang boleh diakses oleh orang dengan pergerakan terhad.

“Gua ini adalah salah satu yang paling cantik, bukan sahaja di Greece tetapi juga di Eropah,” kata Kartalis. “Ia mempunyai stalaktit dan stalagmit dalam pelbagai bentuk dan warna, malah dalam warna merah.”

Beliau berkata gua Alistrati berusia 3 juta tahun dan pertama kali dijelajahi pada 1974 oleh Persatuan Hellenic Speleological dan sekumpulan ahli speleologi Austria. Ia dibuka kepada pelawat pada tahun 1998.

Persephone, dengan badan warna putih, kepala hitam dan dua mata berkilau, bergerak menggunakan roda, membimbing pelawat di tiga daripada lapan persinggahan di laluan pejalan kaki. Robot itu boleh melakukannya untuk dua persinggahan lagi, namun pergerakannya yang perlahan menghambat kunjungan, yang dilakukan dalam tiga bahasa secara serentak. Pencipta Persephone sedang menimbang cara-cara untuk mempercepat proses tersebut.

Robot itu akan bermula dengan berkata: “Nama saya ialah Persephone, saya adalah anak perempuan dewi Demeter dan isteri Pluto, dewa alam ghaib. Saya mengalu-alu anda ke dunia saya, Gua Alistrati.”

Ramai pelawat terpukau dengan pemandu robot.

“Ia amat mengejutkan bagi saya. Saya tidak pernah mengalami perkara sedemikian. Sebenarnya, secara terus-terang, saya lebih suka pemandu pelancong manusia, namun menarik juga ia dilakukan melalui cara ini. Dan saya suka pergerakan robot. Ia berjalan perlahan, maka saya boleh melihat keadaan sekeliling,” beritahu Patrick Markes, seorang pelancong Czech.

Markes mendengar penerangan dari robot untuk tiga persinggahan pertama dalam bahasa ibundanya dan yang selebihnya dalam Bahasa Inggeris daripada pemandu pelancong manusia.

“Saya patut berterima kasih kepada Persephone, robot kami, dia bercakap dengan amat baik,” kata Christos Tenis, seorang pelawat Greece. “Saya kagum dengan gua ini. Sudah tentunya kami mempunyai pemandu manusia yang hebat, dia memberikan penjelasan secara panjang lebar. Saya berasa amat kagum.”

Persephone bukan satu-satunya teknologi yang digunakan dalam gua. Terdapat aplikasi telefon bimbit di mana seorang pelawat, mengimbas kod QR, boleh melihat Alistrati Beroni. Ia adalah mikroorganisma yang hanya dapat ditemui dalam gua ini, dalam timbunan besar najis kelawar yang ditinggalkan di belakang apabila gua dibuka dan kelawar berpindah ke tempat lain. – AP