Robot peronda cetus kebimbangan

SINGAPURA, 6 OKT – Singapura telah menjalankan ujian robot peronda yang memberi amaran kepada mana-mana individu ‘berkelakuan tidak senonoh’, yang menjadi tambahan kepada armada teknologi pengawasan di republik itu.

Para pegawai sudah lama menekan visi negara pintar dipacu teknologi efisien tinggi namun telah mengundang bantahan daripada kumpulan yang memperjuangkan hak asasi manusia dan kerahsiaan peribadi.

Peranti pengawasan terbaharu kerajaan itu adalah robot beroda dilengkapi tujuh kamera yang mengeluarkan amaran kepada orang awam dan mengesan ‘kelakuan tidak seno-noh’ seperti merokok di kawasan terlarang, meletak basikal secara tidak betul dan melanggar peraturan penjarakan fizikal mencegah koronavirus.

Dalam satu rondaan baru-baru ini, salah sebuah robot bernama ‘Xavier’, sedang menjalankan pemantauan di kawasan perumahan dan berhenti di hadapan sekumpulan penduduk warga tua yang menyaksikan pertandingan catur.

“Sila patuhi jarak satu meter, sila pastikan hanya lima orang setiap kumpulan,” demikian arahan yang dikeluarkan daripada pembesar suara robot berkenaan, sambil kamera tertumpu kepada kumpulan warga tua terbabit.

Selama tiga minggu, ujian awal dijalankan sejak bulan lalu itu menyaksikan dua robot digerakkan untuk membuat rondaan di kawasan perumahan dan pusat beli-belah.

“Ia mengingatkan saya kepada Robocop, memberi gambaran seolah-olah kita berada dalam dunia robot… saya agak ragu-ragu dengan konsep sedemikian,” kata pembantu penyelidik, Frannie Teo, 34, yang sedang bersiar di pusat beli-belah.

Aktivis hak digital, Lee Yi Ting, berkata peranti itu menjadi kaedah terbaru di mana penduduk Singapura akan sentiasa diawasi, sekali gus memaksa mereka sentiasa terpaksa mengawal tingkah laku dan tutur kata.

Namun kerajaan itu mempertahankan penggunaan robot-robotnya dengan mengatakan ia tidak digunakan untuk mengenal pasti atau mengambil tindakan ke atas pesalah semasa ujian teknologi itu dan penggunaan robot terpaksa dijadikan pilihan susulan kekurangan tenaga kerja bagi tugasan seumpama itu selain peningkatan golongan penduduk berusia lanjut. – AFP

Gambar bertarikh 6 September menunjukkan ‘Xavier’ semasa meronda di kawasan perumahan dan pusat beli-belah semasa ujian percubaan tiga minggu di Singapura. – AFP