Rock Tech rancang bina kilang logam bateri hampir Berlin

FRANKFURT, 12 OKT – Syarikat Kanada, Rock Tech mengatakan kelmarin bahawa mereka merancang untuk membina sebuah kilang di Jerman bagi penapisan litium, elemen penting dalam penghasilan bateri, yang menyokong pembuat kereta tempatan dalam peralihan ke kenderaan elektrik.

Kilang tersebut, digelar sebagai ‘Pertama Eropah’ oleh Rock Tech, akan menghasilkan sekitar 24,000 tan litium hidroksida setahun – bersamaan dengan keperluan untuk ‘melengkapkan 500,000 kereta elektrik’ dengan bateri, katanya.

Syarikat itu merancang untuk melabur AS$543 juta dalam kilang tersebut, yang terletak di Guben, berhampiran dengan sempadan Poland, iaitu 80 kilometer dari kilang kereta Tesla yang bakal siap di Guenheide.

Dijadualkan untuk memulakan penghasilan pada tahun 2024, aktiviti penapisan litium di kilang tersebut mewakili langkah antara pengeluaran dan penghasilan bateri untuk digunakan dalam kenderaan elektrik.

Sebahagian besar daripada 38 projek penghasilan bateri yang dirancang untuk Eropah terletak di Jerman, negara penjana kuasa automotif tradisi. – AFP