Rocketeers juara Bola Jaring

Oleh Khairil Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Pasukan Rocketeers yang diketuai oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah muncul juara Kejohanan Bola Jaring Piala Presiden yang diadakan di Dewan Serbaguna Hassanal Bolkiah di Berakas hari ini.

Pada kejohanan tersebut, Pasukan  Rocketeers berjaya menewaskan Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) dengan keputusan 36-30 dalam perlawanan terakhir.

Sementara itu,  Angel Net yang diketuai oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raheemah Sanaul Bolkiah pula menduduki tempat ketiga setelah berjaya menewaskan Pasukan Red Butterfly.

Pada kejohanan itu, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah telah dianugerahkan Penyerang Terbaik. Manakala bagi Anugerah Penjaring Terbaik pula disandang oleh Dayang Nur Ady Elzza Erzrenna binti Sofian dari MS ABDB dan Dayang Nurazimah binti Abdul Latif dari MS ABDB dianugerahkan sebagai Pertahanan Terbaik.

Dalam Kejohanan Bola Jaring Bawah 21 pula, Pasukan WildCats yang diketuai oleh YAM Pengiran Anak Raheemah Sanaul Bolkiah berjaya mengondol gelaran juara, diikuti oleh Majlis Sukan Sekolah-sekolah Negara Brunei Darussalam (MSSSBD) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

Tiga pemain Pasukan WildCats merangkul semua anugerah individu. YAM Pengiran Anak Raheemah Sanaul Bolkiah dianugerahkan Penjaring Terbaik; Mazarina anak Sujar sebagai Penyerang Terbaik dan Raiefieza Radimas sebagai Pertahanan Terbaik.

Hadir dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah  Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Saidah binti Haji Wahid. Turut hadir ialah Naib Presiden Persatuan Bola Jaring Brunei Darussalam, Hajah Rosediana binti Haji Hidup.

YANG Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah ketika berkenan menerima trofi selepas Pasukan Rocketeers bimbingannya muncul juara Kejohanan Bola Jaring Piala Presiden, kelmarin. Gambar oleh
Khairil Hassan
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama pasukan lainnya semasa kejohanan berkenaan, kelmarin.
Aksi YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah semasa kejohanan berkenaan.