Rodriguez sah milik Everton

LONDON, 8 SEPT – Everton melengkapkan perpindahan James Rodriguez dari Real Madrid semalam, menemukan kembali pemain tengah Colombia itu dengan pengurus, Carlo Ancelotti buat kali ketiga.

Kelab Liga Perdana itu dilaporkan membayar AS$29 juta buat pemain berusia 29 tahun itu yang juga penjaring terbanyak Piala Dunia 2014.

Persembahan hebat James di peringkat dunia memberikannya perpindahan bernilai AS$95 juta ke Madrid enam tahun lalu dan dia menyerlah pada musim pertama di bawah kendalian Ancelotti dekat ibu kota Sepanyol itu.

Bagaimanapun dia gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama di bawah Zinedine Zidane sepanjang dua tahun di sana dan merudum pada dua musim dipinjamkan ke Bayern Munich antara 2017 dan 2019, ketika dia bersama Ancelotti.

James menjadi pemain kedua ditandatangani Everton pada fasa perpindahan selepas kehadiran pemain antarabangsa Brazil, Allan daripada Napoli.

Pemain itu percaya akan ada masa depan yang cerah bersama Toffees walaupun kelab itu hanya menamatkan musim di tangga ke-12 dalam Liga Perdana musim lalu.

“Saya yakin dengan Carlo dan anggota kakitangannya, kami mampu meraih kejayaan besar dan salah satu sebab mengapa saya menandatangani perpindahan ini adalah kerana kehadiran Carlo Ancelotti.”

“Saya telah menikmati masa yang cukup bermakna bersama beliau dalam dua kelab berlainan dahulu. Ia satu perasaan teruja untuk berada di sini,” tambah Rodriguez. – AFP

Gambar fail pada 23 Jun 2019 menunjukkan reaksi Rodriguez sebelum beraksi pada perlawanan menentang Paraguay di Arena Fonte Nova di Salvador. – AP