Rodrygo pahat rekod eropah

MADRID, 7 NOV – Rodrygo menjaringkan hatrik sensasi dan dua gol terpantas dalam sejarah Liga Juara-Juara awal pagi tadi ketika Real Madrid memalukan Galatasaray 6-0.

Pemain berusia 18 tahun itu meledak dua gol dalam tempoh hanya 6 minit 14 saat di Santiago Bernabeu sebelum membuat umpanan kepada Karim Benzema bagi menjadikannya empat gol selepas Sergio Ramos menjaringkan penalti.

Benzema kemudian menambah jaringan kelima pada babak kedua sebelum Rodrygo melengkapkan jaringan ketiga peribadi pada masa kecederaan.

“Dia tidak mengejutkan saya,” kata jurulatih Madrid, Zinedine Zidane. “Dia hampir memiliki semuanya. Dia bijak, dia belajar dengan pantas dan mahu belajar serta meningkat.

“Secara fizikal dia semakin bagus tetapi secara teknikal, dia tahu melakukan apa saja dengan bola.”

Reaksi Rodrygo (kanan) selepas menjaringkan gol kedua pasukannya pada perlawanan menentang Galatasaray di Stadium Santiago Bernabeu, kelmarin. – AP

Kemenangan Madrid bermakna mereka tampak sudah layak daripada Kumpulan A, lima mata di depan Club Brugge, walaupun Paris Saint-Germain dilihat hampir pasti berkedudukan teratas.

Ia bermakna skuad kendalian Zidane hanya perlukan seri untuk ke kelompok 16 terakhir tetapi itulah hukuman kerana kekalahan di Paris dan seri di laman sendiri berdepan Brugge.

Bagaimanapun pusingan kalah mati masih jauh dan Rodrygo adalah bintang utama ketika ini.

Selepas menjaringkan gol terpantas dalam liga oleh pemain yang melakukan penampilan sulung buat Real pada September – kawalan bola baik dan menamatkannya selepas 94 saat – dia kini juga memahat namanya dalam buku rekod Eropah.

“Hari ini impian saya menjadi kenyataan,” kata Rodrygo.

“Dia tidak takut,” kata Benzema. “Dia seronok ketika memegang bola dan saya sukakan pemain yang beraksi sebegitu.”

Benzema sendiri merakam sejarah dengan menyamai dan kemudian mengatasi catatan 49 gol Piala Eropah jaringan pemain legenda kelab Alfred di Stefano. – AFP