Rogol: Bapa ditahan reman

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Seorang bapa yang dituduh merogol anak kandungnya telah diperintahkan untuk ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut setelah sebutan semula kes di Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin.

Kes berkenaan telah dilaporkan pada 21 Mac yang lalu dan tertuduh disiasat di bawah Seksyen 376 (2) (c) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.

Berikutan perkongsian kes ini di media massa, Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah telah menerima dua lagi kes gangguan seksual yang juga melibatkan anak kandung, diganggu secara seksual oleh bapa kandung mereka sendiri.

Tangkapan telah dibuat ke atas kedua-dua kes terbaharu berkenaan dan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di mana pelaku kepada kedua-dua kes telah diperintahkan untuk ditahan reman bagi siasatan lanjut. Ini menunjukkan kesedaran daripada masyarakat dan juga komitmen Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dalam membanteras mana-mana keganasan termasuk keganasan seksual terhadap wanita apatah lagi yang dilakukan oleh ahli keluarga sendiri.

PDB dalam kenyataannya, mengambil kesempatan dan menyarankan semua masyarakat untuk tampil ke hadapan dan melaporkan mana-mana jenis keganasan termasuk penderaan fizikal atau seksual, jika terjadi kepada diri atau orang yang dikenali. Jangan menjadi mangsa atau saksi bisu dan membiarkan ia terjadi kerana laporan yang dibuat kepada pihak polis adalah bertujuan untuk menghentikan keganasan itu daripada berterusan dan menyelamatkan mangsa yang terlibat.

Oleh itu, orang ramai adalah amat digalakkan dan dialu-alukan untuk melaporkan apa jua maklumat yang diterima mengenai perkara seperti ini dan agar melaporkannya dengan segera kepada pihak polis di talian kecemasan 993 atau di mana-mana balai polis yang berdekatan.