Monday, October 7, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rogol: Datuk saudara mengaku tidak bersalah

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Seorang lelaki yang baru keluar dari penjara sekitar Jun tahun lalu atas kesalahan merogol, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, kelmarin, selepas didakwa merogol cucu saudaranya berusia sembilan tahun.

    Kejadian didakwa berlaku dalam dua kejadian berasingan pada 8 Oktober 2017 sekitar jam 8 malam dan keesokan malamnya sekitar jam 9 malam di rumah keluarga mereka. Datuk saudara yang berusia 50 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Dato Paduka Steven Chong.

    Di bawah peruntukan yang baru, tertuduh boleh dihukum sebagai pesalah kedua atau seterusnya dengan hukuman penjara tidak kurang daripada 20 tahun dan tidak lebih daripada 50 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 20 kali sebat jika didapati bersalah.

    Dalam prosiding itu, tertuduh membuat permohonan untuk dilepaskan dengan ikat jamin namun mendapat bantahan keras dari Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula kerana tertuduh sebelum ini mempunyai tiga rekod jenayah melibatkan rogol dan melakukan cabul.

    “Tertuduh baru dilepaskan dari penjara sekitar Jun 2017 atas kesalahan rogol, yang mana tertuduh sekali lagi melakukan kesalahan sama selepas tiga bulan dibebaskan,” tegas pihak pendakwaan yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri binti Kiprawi.

    Tertuduh bukan sahaja dalam kedudukan diberi kepercayaan dan mangsa dalam kes ini adalah golongan yang mudah terdedah kepada bahaya dan memerlukan perlindungan. Pihak pendakwaan turut mengemukakan bahawa jika tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin, tertuduh berisiko untuk melarikan diri dan melakukan kesalahan semula sekali gus menimbulkan bahaya kepada orang ramai.

    Pihak pendakwaan turut memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh sebelum ini pernah melarikan diri dari jagaan polis pada 2008.

    Hakim menolak permohonan tertuduh untuk diberi ikat jamin dan memerintahkan tertuduh ditahan reman sementara menunggu perbicaraan yang bermula pada 21 Ogos 2018.

    Pihak pendakwaan akan memanggil 10 orang saksi untuk membuktikan kes terhadap tertuduh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda