Monday, November 28, 2022
27.1 C
Brunei

-

Rogol remaja: Lelaki dipenjara 16 tahun, 12 sebatan

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Mahkamah Perantaraan di sini, kelmarin, telah menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan 12 sebatan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang mengaku bersalah terhadap dua kesalahan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.

Lelaki berkenaan, yang tidak didedahkan identitinya bagi melindungi mangsa, merogol remaja berkenaan di sebuah rumah antara Januari hingga Ogos. Pendakwaan kedua menyatakan bahawa dia sekali lagi merogol mangsa di rumah sama ada pada 17 atau 18 Ogos lalu.

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Harnita Zelda Skinner berkata bahawa kes berkenaan membimbangkan, dengan faktor-faktor memburukkan diketengahkan pihak pendakwaan yang menyatakan bahawa defendan membuat hubungan seksual dengan remaja itu dua kali, yang sama seperti rogol kerana mangsa berusia bawah 14 tahun.

“Tidak kira sama ada hubungan itu romantik,” tambahnya.

Mahkamah turut mempertimbangkan keputusannya dengan mengambil kira bahawa mangsa merupakan pelajar berkeperluan khas yang memerlukan bimbingan dalam akademik, kehidupan dan kemahiran sosial. Mangsa, bagaimanapun, tidak digolongkan sebagai kurang upaya mental.

“Faktor-faktor memburukkan adalah usianya yang muda dan ia berlaku dua kali. Dia (defendan) mengambil kesempatan terhadap kerentanan mangsa dengan melakukan hubungan seksual dengannya berbanding melindunginya,” tambah hakim.

Fakta kes Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah Abdul Rahman menyatakan bahawa defendan telah berkahwin dengan wanita tempatan dan mempunyai tiga anak.

Semasa melakukan kesalahan itu, defendan dalam proses perceraian. Dia tinggal bersama ibu bapanya dan salah seorang anaknya.

Insiden pertama melaporkan bahawa anak defendan berkenaan telah memperkenalkan bapanya kepada mangsa, semasa dalam panggilan video. Anak itu, yang merupakan bekas rakan sekolah mangsa, berkata bahawa bapanya sedang mencari teman wanita. Defendan dan mangsa kemudian bertukar butiran peribadi.

Sejak panggilan video itu, defendan terus berhubungan dengan mangsa, secara peribadi berkenalan dengannya. Persahabatan itu kemudian bertukar romantik.

Mereka memutuskan untuk bertemu buat kali pertama, dengan mangsa memaklumkan neneknya bahawa dia keluar untuk berjoging. Defendan mengambil mangsa dan mereka keluar bersama.

Defendan membawa mangsa balik ke rumah dan melakukan hubungan seksual dengannya. Pasangan itu terus menjadi pasangan kekasih, kerap berhubung.

Mangsa memberitahu anak defendan mengenai hubungan itu, tetapi tidak pernah memaklumkannya kepada datuk dan neneknya, yang menjaganya sejak usia lima tahun berikutan perceraian ibu bapanya, atau mana-mana ahli keluarganya yang lain atau rakan.

Pada kejadian kedua, mangsa yang tertekan dengan kesihatan ibunya yang semakin teruk, telah menghubungi defendan untuk mengambilnya di persimpangan dekat rumah datuk dan neneknya. Dia membawa beg mengandungi pa-kaian dan barangan peribadi.

Defendan menjemputnya sebelum balik ke rumah ibu bapanya.

Sebaik menyedari mangsa tidak pulang ke rumah, datuknya membuat laporan polis.

Ketika berada di rumah ibu bapa defendan, lelaki itu dan mangsa berkongsi bililk tidur. Anak defendan juga melihat mangsa di rumah itu, siang dan malam. Masa itulah defendan sekali lagi membuat hubungan seksual dengan mangsa.

Polis menahan defendan di rumah ibu bapanya dan mengembalikan mangsa kepada datuk dan neneknya.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Ratusan bantah sekatan COVID China

BEIJING, 27 NOV – Bantahan terhadap kawalan koronavirus di China yang telah mengurungkan jutaan penduduk di rumah telah merebak ke Shanghai dan bandar lain...
- Advertisment -