Rogue One tetap menjadi pilihan utama

LOS ANGELES – Rogue One: A Star Wars Story dan Sing jelas menjadi pilihan utama di pawagam bersempena dengan cuti sambutan tahun baru 2017 sehingga memberikan kutipan box office terbesar bagi tahun 2016.

Siri terbaru dalam francais filem Star Wars, Rogue One: A Star Wars Story sekali lagi mengungguli carta buat minggu ketiga berturut-turut dengan jumlah kutipan sebanyak AS$96.1juta.

Kecemerlangan yang dicapai daripada hasil tayangan filem itu semakin bertambah terutama apabila ia menjadikan kutipan yang berjaya terkumpul menghampiri AS$400 juta hanya dalam tempoh tiga minggu tayangan.

Jumlah yang berjaya dikumpulkan itu telah menjadikan Rogue One: A Star Wars Story sebagai filem kedua yang mendapat kutipan tertinggi bagi tahun 2016 selepas Finding Dory yang berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$425 juta bagi pasaran domestik.

Pada dasarnya, kedua-dua filem itu adalah terbitan Disney yang turut memberikan keuntungan setinggi AS$7 bilion bagi pasaran antarabangsa.

Antara karakter yang ditampilkan dalam filem Rogue One: A Star Wars Story.
Antara karakter yang ditampilkan dalam filem Rogue One: A Star Wars Story.
Sing menampilkan banyak karakter menarik yang terdiri daripada pelbagai spesies binatang.
Sing menampilkan banyak karakter menarik yang terdiri daripada pelbagai spesies binatang.
Passengers dibintangi oleh Chris Pratt.
Passengers dibintangi oleh Chris Pratt.

Sing, sebuah filem animasi hasil kolaborasi terbaru di antara Illumination dan Universal pula menduduki tangga kedua setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$54.9 juta.

Secara keseluruhan, filem animasi tersebut telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$177.3 juta di mana ia juga merupakan satu pencapaian terbaik kepada Illumination selain daripada hasil kutipan daripada tayangan filem The Secret Life of Pets pada tahun 2016.

Filem animasi tersebut menampilkan pelbagai karakter binatang yang mempersembahkan pelbagai aksi komedi yang mencuit hati dibintangi oleh Matthew McConaughey, Reese Witherspoon dan Taron Egerton.

Berada di tempat ketiga pula adalah Passengers, sebuah filem yang menampilkan elemen sains fiksyen dan romantik lakonan Chris Pratt dan Jennifer Lawrence yang berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$22.7 juta.

Setakat ini, filem yang menelan kos perbelanjaan setinggi AS$110 juta itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$22.7 juta dan ternyata lebih banyak usaha wajar dilaksanakan bagi mengembalikan keuntungan terhadap jumlah tinggi yang telah dilaburkan.

Why Him merupakan sebuah filem yang menumpukan kepada kisah hubungan kekeluargaan.
Why Him merupakan sebuah filem yang menumpukan kepada kisah hubungan kekeluargaan.
Assasin’s Creed adalah sebuah filem yang diadaptasi daripada francais permainan video popular.
Assasin’s Creed adalah sebuah filem yang diadaptasi daripada francais permainan video popular.

Sementara Why Him terbitan Fox pula menduduki tangga keempat di dalam carta setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$ 15.5 juta

Filem yang menelan kos perbelanjaan sebanyak AS$38 juta itu mengisahkan mengenai perhubungan dingin di antara seorang ayah dengan tunang anak perempuannya yang telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$37.6 juta dalam tempoh dua minggu ia ditayangkan.

Assasin’s Creed yang diadaptasi daripada siri permainan video popular pula berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$14.8 juta dan menduduki tangga kelima dalam carta.

Ternyata filem yang turut diterbitkan oleh Fox dan menelan kos perbelanjaan setinggi AS$125 juta itu tidak menerima nasib sebaik beberapa filem adaptasi daripada siri permainan video popular lain seperti Mortal Kombat dan Lara Croft: Tomb Raider apabila hanya berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$41 juta setelah ditayangkan selama dua minggu.

Antara beberapa filem baru lain yang baru ditayangkan pada minggu ini adalah termasuk 20th Century Women, Patterson dan Live by Night.