Rohan Dennis sertai Jumbo-Visma

PARIS, 1 SEPT – Juara dunia dua kali, Rohan Dennis (gambar) akan bergabung dengan pasukan Jumbo-Visma bersama pemenang pingat emas Olimpik, Primoz Roglic dalam perjanjian dua tahun, pasukan Belanda itu mengumumkan hari ini.

Dennis, 31 tahun, akan meninggalkan Ineos Grenadiers untuk berlumba bersama Roglic, yang menewaskan pemenang tempat ketiga Australia di Tokyo pada bulan Julai lalu.

Bekas pelumba BMC Racing itu, merebut gelaran juara dunia pada tahun 2018 dan juga 2019 dan telah merangkul kemenangan di ketiga-tiga Jelajah Utama akan tetapi disingkirkan dari pasukan Jelajah Perancis Ineos tahun ini.

“Saya menantikan cabaran baharu dan saya gembira dapat bergabung dengan salah satu pasukan terkemuka dengan R&D dalam peloton pro,” kata Dennis dalam satu kenyataan pasukan.

“Menunggang bersama Primoz Roglic, Wout van Aert dan Tom Dumoulin sekali lagi adalah sesuatu yang tidak dapat saya tolak.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ineos-Grenadiers untuk masa yang saya habiskan bersama mereka. Ia merupakan perjalanan hebat dengan banyak masa dan pencapaian yang menakjubkan, yang saya ingin teruskan bersama pasukan Jumbo-Visma,” tambahnya.

Perlumbaan Dennis seterusnya dijadualkan di Jelajah Britain bulan ini yang bermula pada hari Ahad dengan percubaan masa berpasukan pada 7 September ini di Carmarthenshire, Wales. – AFP