Rohingya dibenar ziarah keluarga

COX BAZAR, BANGLADESH, 1 DIS – Puluhan pelarian Rohingya yang dihantar ke pulau terpencil di Bangladesh telah dibenarkan untuk melawat ahli keluarga mereka buat pertama kali, sejak ditempatkan di sana dua tahun lalu.

Hampir 20,000 etnik minoriti berkenaan yang melarikan diri dari Myanmar pada 2017 berikutan penindasan didalangi tentera junta, sudah pun dihantar ke pulau Bhashan Char.

Pihak berkuasa, semalam membenarkan 68 Rohingya untuk keluar dari pulau terbabit bagi menziarahi ahli keluarga terdekat di tanah besar.

“Sebuah kapal tentera laut membawa mereka ke Chittagong dan dari sana, mereka dibawa ke kem menggunakan dua buah bas.

“Ini kali pertama etnik Rohingya yang tinggal di pulau berkenaan berkunjung ke kem untuk melawat ahli keluarga mereka,” kata jurucakap tentera laut.

Pegawai kanan kementerian pengurusan bencana berkata kerajaan memutuskan untuk membenarkan sekurang-kurangnya dua kali kunjungan dalam tempoh sebulan ke kem di tanah besar. – AFP