Rohingya mangsa pemerdagangan manusia

SATUN, SELATAN THAILAND, 24 JUN – Pihak berkuasa Thailand mengesahkan kesemua 65 etnik Rohingya yang terkandas di Pulau Rawi di perairan Satun, selatan Thailand pada 11 Jun lepas merupakan mangsa pemerdagangan manusia.

Jurucakap polis berkata kesemua mangsa, 31 wanita, 29 lelaki dan lima kanak-kanak di atas bot yang terkandas itu telah dipindahkan ke Pusat Perlindungan dan Pembangunan Kraftangan Surat Thani dan Pusat Perlindungan Pemerdagangan Manusia, Songkhla.

“Setelah pemeriksaan secara terperinci, pihak polis mengenal pasti kesemua mereka di atas bot tersebut merupakan mangsa pemerdagangan manusia.

“Kini, mereka di bawah jagaan Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Keamanan Manusia, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Keamanan Manusia, Thailand,” katanya.

Sebelum ini, polis Thai menahan enam lelaki iaitu juragan dan kru bot nelayan itu.

Media tempatan melaporkan jurugan bot itu, seorang warga Thai, mendakwa dia dibayar upah 100,000 Baht oleh seorang warga Myanmar untuk membawa kumpulan itu ke Malaysia. Pihak berkuasa telah mengenakan pertuduhan awal terhadapnya kerana membawa masuk pendatang asing ke negara ini.

Rohingya adalah kumpulan minoriti Muslim di Myanmar yang terpaksa meninggalkan kampung halaman berikutan penindasan ke atas mereka dan mendapatkan perlindungan di kem sementara di sempadan susulan serangan ke atas etnik itu pada 2017. – Bernama