Roket Long March-8 catat pelancaran sulung

BEIJING, 22 DIS – Roket baharu China, Long March-8, mengadakan penerbangan sulungnya hari ini, kata agensi angkasa lepas negara, fasa pertama strategi untuk menghantar kenderaan pelancaran yang boleh diguna semula.

Siri Long March-8 adalah sebahagian daripada program China untuk membangunkan roket boleh diguna semula, berpotensi mengurangkan kos misi dan membuka laluan kepada perkhidmatan pelancaran komersial.

Program itu telah dibandingkan dengan firma roket AS, SpaceX Falcon, walaupun China berkata pada 2018, kenderaan pengangkut boleh gunanya akan menggunakan teknologi berlainan.

Pengangkut roket baharu itu menghantar lima satelit ke orbit, berlepas dari tapak pelancaran Wenchang di selatan pulau Hainan pada pukul 12:37 tengah hari waktu Beijing hari ini. Ia berukuran 50.3 meter dan mempunyai jisim 356 tan pada masa berlepas, dan Pentadbiran Angkasa Lepas Negara China (CNSA) berkata ‘ia merupakan peristiwa bersejarah untuk pelancaran kenderaan tersebut.’

Reka bentuk roket adalah berdasarkan teknologi yang dibangunkan untuk edisi Long March sebelumnya, lapor Xinhua hari ini. Ia juga dijangka meletakkan asas untuk pembangunan roket besar dan berat, memendekkan tempoh pembangunan dan mengurangkan kos, kata Song Zhengyu, pereka roket itu.

Lima satelit yang dilancarkan oleh roket baharu akan menjalankan uji kaji dalam sains angkasa, sensor kawalan jauh dan teknologi komunikasi, kata Xinhua. – AFP

Orang ramai menyaksikan roket Long March-8, armada kenderaan pelancaran Long March terbaharu China, berlepas dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di selatan wilayah Hainan, China kelmarin. – AFP