Roket SpaceX meletup selepas pendaratan

WASHINGTON, 4 MAC – Sebuah roket SpaceX tanpa pemandu meletup di tanah semalam selepas melakukan penerbangan dan pendaratan yang kelihatan berjaya.

Ini adalah kegagalan ketiga berturut-turut yang membabitkan prototaip roket Starship, yang diharapkan SpaceX suatu hari nanti akan dihantar ke Marikh.

Dua ujian penerbangan terakhir berakhir dalam kemalangan.

“Pendaratan yang baik,” kata pengulas SpaceX dalam siaran langsung penerbangan ujian, walaupun api keluar di bahagian bawah dan kru berusaha memadamkannya.

Roket meletup beberapa minit kemudian. Ia kelihatan melambung ke udara dan jatuh kembali ke tanah.

Tiada penjelasan segera diberikan. Seperti yang dilihat pada video SpaceX, roket terbabit kelihatan telah mendarat dengan betul selepas penerbangannya.

Pengasas SpaceX, Elon Musk telah membangunkan roket Starship generasi seterusnya dengan tujuan pergi ke Marikh – walaupun dua prototaip meletup dengan cara yang luar biasa pada ujian terbaharu mereka.

Prototaip terbaharu, dinamakan SN10, untuk ‘nombor siri 10’, dilancarkan sejurus sebelum 1120 GMT dari Boca Chica, Texas.

Ujian dilakukan di kawasan yang hampir sepi, yang disewa oleh SpaceX di Texas Selatan berhampiran sempadan dengan Mexico dan di sebelah Teluk Mexico – kawasan cukup luas dan cukup kosong sehingga kemalangan atau letupan tidak akan menyebabkan kerosakan atau kematian.

Selain Marikh, roket itu, jika ia beroperasi, juga boleh digunakan untuk perjalanan yang lebih dekat, terutama ke Bulan. – AFP

Gambar yang dikeluarkan oleh SpaceX menunjukkan pelancar prototaip Starship semasa satu ujian di Boca Chica, Texas pada 3 Mac. Roket Starship mendarat kelmarin tetapi meletup di landas pelancaran. – AP