Roket Vega bawa 53 satelit dilancar

KOUROU, 3 SEPT – Roket Eropah Vega kembali dilancarkan semalam dari French Guiana dalam misi pertamanya sejak pelancaran menemui kegagalan pada tahun lalu.

Roket itu berlepas dari Bumi kira-kira sejam sebelum tengah malam waktu tempatan selepas pelancaran ditunda beberapa kali, terbaharu disebabkan ribut taufan melintasi stesen penjejak di Korea Selatan.

Pandemik koronavirus dan angin berterusan di tapak pelancaran Amerika Selatan juga mengakibatkan penangguhan.

Vega berjaya menempatkan 53 satelit kecil – kebanyakannya mempunyai berat kurang 15 kilogram – bagi pihak pelanggan dari 13 buah negara.

“Saya berharap mikrosatelit ini suka perjalanan mereka dalam penerbangan terus dari Eropah ke angkasa lepas,” tulis Stephane Israel, ketua eksekutif pembekal perkhidmatan pelancaran Arianespace, di Twitter.

Roket Vega adalah komponen penting dalam cita-cita Eropah untuk bersaing dalam pasaran aeroangkasa, di mana ia menghadapi persaingan sengit daripada pencabar termasuk SpaceX, diketuai Elon Musk. – AFP