Rokok bernilai lebih RM500,000 dirampas

KUCHING, 7 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas rokok pelbagai jenama bernilai RM561,674 dalam dua serbuan berasingan di Taman Desa Wira, Batu Kawa di sini hari ini.

Menurut Komander Briged itu, SAC Mancha Ata berkata serbuan pertama pada 8:30 pagi tadi, sepasukan pegawai telah menemukan rokok pelbagai jenama berjumlah 2,886 karton dengan nilai anggaran RM429,088 termasuk cukai.

“Turut ditangkap seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun yang merupakan pemilik barangan tersebut.

“Pada serbuan kedua, pada 12:30 tengah hari tadi, pasukan serbuan menemukan sejumlah 919 karton rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai RM132,586 termasuk cukai dan seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun turut ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini. – Bernama