Rokok seludup bernilai RM455,000 dirampas

BELURAN, 20 Mei – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di sini  berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 84,500 bungkus rokok yang dianggarkan bernilai RM455,000 dengan menahan lima lelaki tempatan dalam satu operasi khas ESSCom di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh semalam.

Komander ESSCom DCP Datuk Hazani Ghazali berkata kesemua suspek yang masing-masing memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) ditahan ketika dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Sandakan kira-kira pukul 5.45 petang.

“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota ESSCom telah menahan dan memeriksa lima buah kenderaan SUV yang datang dari arah Kota Kinabalu dalam keadaan mencurigakan. Kesemua pemandu yang berumur 18 hingga 46 tahun telah diarahkan turun untuk membuat pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan SUV itu dipenuhi oleh kotak-kotak rokok disyaki rokok seludup yang belum dibayar cukai kastam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hazani, jenis rokok seludup yang dirampas ialah 45,800 bungkus Astro merah; 22,880 bungkus Astro hijau; 1,850 bungkus Astro hitam; 1,200 bungkus rokok Extreme; 4,500 bungkus Era Biru; 3,600 bungkus rokok Absulete (kretek); 2,670 bungkus rokok Apache dan 2,000 bungkus Era Hitam. – Bernama