Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Rol makizushi dekoratif ceriakan majlis keramaian

    Gambar ANN/Japan News

    JEPUN – Rol susyi kazari makizushi menambahkan keceriaan kepada acara-acara perayaan, termasuk upacara masuk sekolah dan majlis penyampaian ijazah, dengan reka bentuk bunga, geometri dan motif lainnya.

    Rol susyi berkenaan seronok untuk disediakan dan menarik dipandang.

    Berasal dari Edo (sekarang Tokyo), makizushi telah dibuat di seluruh Jepun, dengan intinya dan penampilannya telah berkembang seiring waktu. Salah satu bentuk kazari makizushi yang terkenal ialah rol sushi futomaki yang tebal, sajian istimewa wilayah Chiba.

    Tradisi-tradisi berkenaan telah berubah selama bertahun-tahun, dan pelbagai rol susyi telah berkembang pesat.

    “Awda boleh menggunakan pelbagai jenis reka bentuk, daripada corak klasik hingga watak-watak lucu. Sungguh seronok membuatnya,” kata Chacha Tsubaki, artis susyi kazari.

    Kazari makizushi memaparkan corak klasik, termasuk shikai (empat lautan) kiri, dan kikusui (bunga kekwa terapung di atas air mengalir) di depan.
    Kazari makizushi dalam kotak bento.
    Kazari makizushi dibentuk seperti bunga plum.
    Proses membuat makizushi bunga plum.

    Kaedah asas untuk membuat kazari makizushi melibatkan proses mewarnai nasi susyi dengan mencampurkan nasi cuka dengan daun shiso merah atau topping ikan merah muda yang manis (sakura denbu). Nasi kemudian digulung dengan lembaran atau kepingan nori untuk mewujudkan pelbagai corak.

    Rol susyi klasik yang menampilkan corak shikai (empat lautan) adalah susyi yang digulung menjadi segi empat dan mempunyai garis melengkung di keempat-empat sudutnya, yang mewakili ombak. Ombak dikatakan menggambarkan harapan untuk dunia yang aman damai di mana ombak telah reda, oleh itu susyi dengan corak ini sangat popular terutamanya pada acara-acara keramaian.

    Sushi yang memaparkan corak kikusui, yang mewakili bunga kekwa terapung di atas air mengalir, meraikan umur panjang dan juga menarik untuk dilihat.

    Susyi bercorak Bunsen pula diformulasikan berdasarkan duit syiling lama yang mempunyai lubang segi empat di tengahnya dan diisi dengan bahan-bahan berbentuk segi empat di dalamnya.

    “Tatacara menata pelbagai corak (di atas pinggan) menjadikan makizushi kelihatan lebih berwarna-warni.

    “Cara penyusunan juga mempengaruhi rupa susyi,” kata Tsubaki.

    Rol susyi hiasan yang menampilkan reka bentuk watak lucu telah berkembang daripada corak klasik tersebut. Rol susyi yang memaparkan arnab adalah mudah dibuat – apa yang perlu awda lakukan adalah menggulung nasi berwarna dengan selembar nori dan menghiasinya dengan potongan rumpui laut untuk membentuk wajah.

    Pelbagai watak seperti beruang dan penguin juga boleh dihasilkan bergantung pada kreativiti awda. Apabila disajikan di atas pinggan, ia sepatutnya dapat membuat semua orang tersenyum.

    Gulungan susyi seperti ini akan menceriakan hati kanak-kanak apabila mereka membuka kotak makan tengah hari mereka.

    Penggunaan makizushi telah berkembang lebih jauh, malah Tsubaki telah menerbitkan ‘buku gambar’ di YouTube di mana dia menggunakan makizushi untuk menceritakan kisahnya.

    “Ia mungkin nampak sukar, tetapi sebaik sahaja awda sudah biasa, awda boleh membuat pelbagai corak dan reka bentuk,” kata Tsubaki.

    Cara membuat bunga plum

    Tsubaki berkongsi bagaimana membuat makizushi yang menyerupai bunga plum.

    Pertama, campurkan 100 gram nasi susyi yang sudah dicampurkan bersama cuka beras dengan sakura denbu untuk menghasilkan warna merah jambu.

    Kemudian, sediakan dua keping nori, yang biasanya berukuran 19×21 senti-meter.

    Potong kedua-dua nori tersebut kepada separuh supaya awda mempunyai empat keping yang berukuran kira-kira 19×10 sentimeter. Seterusnya, potong dua daripada kepingan tersebut menjadi tiga bahagian untuk mendapatkan enam kepingan lebih kecil berukuran kira-kira 10×6 sentimeter. (Satu keping besar dan satu keping kecil akan tinggal).

    Bahagikan nasi susyi kepada lima bahagian yang sama besar. Bentuk setiap bahagian menjadi batang yang panjangnya kira-kira 10 sentimeter.

    Letakkan sekeping kecil nori di atas lapik susyi makisu, selari dengan jalur-jalur buluh pada lapik tersebut. Letakkan sedikit nasi di atas nori, paling dekat dengan awda. Kemudian, gulung ke arah bertentangan awda.

    Awda sekarang seharusnya mempunyai rol susyi kecil yang panjangnya kira-kira 10 sentimeter dan kurang daripada 2 sentimeter tebal. Hancurkan kira-kira dua butir nasi untuk membuat pes yang akan menutup rol. Buatlah lima rol kecil seperti ini.

    Letakkan tiga rol di atas alas makisu dengan memegangnya seperti yang ditunjukkan pada gambar. Letakkan sebatang stik keju berukuran kira-kira 10 sentimeter di tengah-tengah rol tersebut, dan letakkan dua rol susyi yang selebihnya di atas. Ikat rol bersama dengan menggulungnya dengan ketat di dalam lapik.

    Balut selembar nori berukuran 19×10 sentimeter di sekeliling gulungan tersebut. Potong gulungan tersebut dengan pisau yang sangat tajam untuk mendedahkan potongan melintang berbentuk bunga. – ANN/Japan News

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...