‘Roland Garros paling bermakna’

PARIS, 10 JUN – Rafael Nadal akui rekod gelaran ke-12 Roland Garros yang dimenanginya adalah paling istimewa selepas dihantui kecederaan pada awal tahun ini yang menyebabkan tahap kecergasan mental dan fizikalnya merosot serta mula mempersoalkan cintanya terhadap sukan itu.

Pemain berumur 33 tahun itu dimahkotakan Grand Slam kali ke-18 dengan kemenangan 6-3, 5-7, 6-1, 6-1 ke atas pemain Austria, Dominic Thiem dalam perlawanan ulangan final tahun lalu.

Nadal kini hanya dibezakan dua kemenangan di belakang pemegang rekod Roger Federer dengan 20 major dan tiga di depan Novak Djokovic yang disingkir Thiem pada pusingan separuh akhir.

Bagaimanapun Nadal berkata dia menghadapi musim yang sukar sebelum Terbuka Perancis dan menimbulkan rasa bimbang terhadap kemampuannya untuk mempertahankan gelaran di Paris.

“Saya tak begitu menikmatinya, saya bimbang terhadap kesihatan saya. Saya lemah mental dan fizikal selepas Indian Wells,” kata Nadal.

“Saya terlalu negatif. Selepas Madrid dan Barcelona, saya terlalu memikirkan tentang apa yang saya perlu lakukan. Saya boleh berhenti seketika dan tunggu pulih sepenuhnya atau ubah sikap dan pulih sepenuhnya.” Selepas tewas di final Terbuka Australia kepada Djokovic di mana Nadal memenangi hanya lapan permainan, tersingkir pada pusingan kedua di Acapulco disusuli menarik diri pada pusingan separuh akhir di Indian Wells, apabila kecederaan lututnya semakin parah, dan menyebabkan pertembungannya dengan Federer tidak terjadi. – AFP