Rolls-Royce bakal tutup kilang komponen jet

PRINCE GEORGE, VIRGINIA, 16 OGOS – Rolls-Royce akan menutup kilang alat ganti pesawat udaranya di tengah Virginia pada pertengahan tahun depan, menyebabkan 280 pekerja bakal kehilangan kerja, kata syarikat semalam.

Penutupan berpunca daripada kemerosotan dalam perjalanan global semasa pandemik COVID-19, lapor akhbar Richmond Times-Dispatch. Terdapat 120 pemberhentian pekerja di kilang tersebut sebelum ini pada Jun.

“Pandemik COVID-19 telah mencetuskan kemerosotan dalam perniagaan awam yang akan mengambil masa beberapa tahun untuk berpulih. Akibatnya, kami terpaksa mengambil keputusan yang sukar, tetapi perlu untuk melindungi masa depan perniagaan kami,” kata jurucakap Rolls-Royce Amerika Utara, Don Campbell dalam satu kenyataan. Rolls-Royce mempunyai ibu pejabat Amerika Utara di utara Virginia.

Kilang itu dibuka pada 2011 di sebuah taman perindustrian di daerah Prince George, kira-kira 40 batu dari tenggara Richmond. Kilang itu mengeluarkan komponen pesawat udara seperti cakera putaran dan kipas turbin, menurut akhbar. – AP