Rolls-Royce dedah ‘teksi terbang’

FARNBOROUGH, UNITED KING-DOM, 17 Julai – Pengeluar enjin Britain Rolls-Royce minggu ini mendedahkan rancangannya untuk membangunkan sebuah kenderaan elektrik hibrid, yang digelar sebagai ‘teksi terbang’, yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak dan boleh terbang di udara dalam lima tahun akan datang.

Syarikat gergasi aeroangkasa yang disenaraikan di London, yang berpangkalan di tengah England, mendedahkan rancangannya itu buat kali pertama pada Pameran Udara Farnborough, sementara pesaing lain turut sama menyertai segmen pasaran itu.

Rolls Royce berkata ia berharap untuk menghasilkan versi prototaip kenderaan elektrik berlepas dan mendarat (EVTOL) dalam tempoh 18 bulan akan datang dan berpotensi untuk diterbangkan pada awal 2020.

Pesawat EVTOL Rolls-Royce akan memuatkan empat atau lima orang, dengan keupayaan jarak terbang sejauh 500 batu dan kelajuan maksimum sehingga 200 batu sejam.

“Dalam pasaran ini, anda akan menyaksikan sesuatu seperti ini terbang dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan kami akan mendemonstrasikan sistem dalam dua tahun,” menurut ketua pasukan elektrik Rolls-Royce, Rob Watson.

Seorang lelaki melewati skrin paparan yang memperlihatkan konsep ‘teksi terbang’ EVTOL semasa Pameran Udara Farnborough, barat daya London, kelmarin. – AFP

“Pada hujung tahun depan, kita akan terbang,” katanya kepada AFP semasa di chalet milik kumpulan berkenaan di Farnborough.

Kenderaan hibrid, yang setakat ini berjumlah 1 juta pound untuk dibangunkan, akan menggunakan enjin turbin gas tradisional bersama satu sistem elektrik.

Rolls-Royce turut membuat penyelidikan ke atas produk elektrik sepenuhnya namun ia tidak semaju yang ditawarkan oleh EVTOL.

“Terdapat kebangkitan pasaran bagi pesawat elektrik sepenuhnya namun kami percaya bahawa anda memerlukan satu tahap keperluan yang tidak dapat diberikan oleh sistem elektrik sepenuhnya hari ini,” beritahu Watson kepada AFP. – AFP