Rom gantung penerbangan Bangladesh

ROM, 7 JULAI – Menteri kesihatan Itali mengarahkan penggantungan penerbangan ke Rom dari Bangladesh hari ini, selepas beberapa kes koronavirus meletus dalam komuniti yang dikhuatiri oleh pihak berkuasa mungkin merebak.

Semalam, rantau Lazio sekitar Rom mengeluarkan satu perintah khas menggesa penumpang dari Dhaka diberikan ujian virus sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Fiumicino di Rom.

Daripada 225 penumpang Dhaka yang tiba semalam, 21 diuji positif dijangkiti penyakit tersebut, kata pegawai kanan kesihatan Lazio Alessio D’Amato hari ini, menggelarnya ‘bom’ virus yang telah kami matikan.

Menteri Kesihatan Roberto Speranza berkata dalam satu kenyataan bahawa penggantungan penerbangan selama seminggu telah pun diarahkan.

Semalam, 32 kes koronavirus telah dilaporkan dalam komuniti Bangladesh, tulis presiden Lazio Nicola Zingaretti dalam arahan itu. Masih tidak jelas sama ada jumlah tersebut termasuk kes positif di kalangan penumpang yang tiba semalam.

Tujuh belas daripada 32 kes adalah ‘diimport’ dari luar negara dan 15 membabitkan orang yang mempunyai kontak dengan kes import, kata arahan. – AFP

Kakitangan kementerian kesihatan Itali memeriksa penumpang yang turun dari kapal terbang dari Bangladesh di lapangan terbang antarabangsa Leonardo Da Vinci di Fiumicino. – AP