Tuesday, November 5, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Roma ke pentas akhir Liga Persidangan

    ROM, 6 MEI – Tammy Abraham menjulang Roma ke perlawanan akhir sulung Liga Persidangan Europa kelmarin dengan gol tunggal dalam kemenangan 1-0 ke atas Leicester City yang meletakkan pasukan Itali itu dihadapan menerusi agregat 2-1.

    Abraham menjaringkan gol melalui tandukan kencang pada minit ke-11 di Stadio Olimpico untuk membawa pasukan Jose Mourinho ke pusingan akhir Eropah pertama mereka dalam tempoh lebih tiga dekad.

    Mereka akan menerima kunjungan Feyenoord di ibu kota Albania, Tirana pada 25 Mei nanti selepas pasukan Belanda itu menang 3-2 dalam perlawanan separuh akhir yang lain.

    Selepas perlawanan, Roma mengumumkan tiket untuk perlawanan akhir akan diedarkan secara percuma kepada pemegang tiket musim, sebagai ganjaran atas sokongan luar biasa yang ditunjukkan kepada pasukan yang kini menduduki tempat kelima di Serie A.

    Peminat Roma tidak pernah melihat pasukan mereka memenangi trofi sejak 2008 dan sorakan semasa wisel penamat adalah satu kelegaan besar selepas menghabiskan sebahagian besar perlawanan bertahan daripada asakan The Foxes.

    Pasukan Brendan Rodgers bertembung dengan pasukan Mourinho yang sememangnya mempunyai corak permainan yang teratur dan baik, dengan pasukan Mourinho membiarkan Leicester melakukan larian dan percubaan namun keputusan permainan tetap menyebelahi Roma dengan kelebihan agregat 2-1.

    “Mereka lebih bagus berbanding kami pada separuh masa pertama meskipun mereka tidak banyak mencipta peluang,” Rodgers memberitahu wartawan selepas perlawanan.

    Perlawanan pentas akhir Eropah terakhir Roma adalah dalam saingan Piala UEFA dahulu ketika mereka tewas kepada Inter Milan pada 1991. – AFP

    Reaksi penyerang Britain dari Roma, Tammy Abraham semasa perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Liga Persidangan UEFA kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda