MILAN, 25 April – Dua jaringan babak kedua daripada Mohamed Salah menjamin kemenangan 4-1 Roma ke atas Pescara, seterusnya menyingkirkan kelab Serie A itu kembali ke divisyen kedua Itali, awal pagi tadi.
Kemenangan ke-24 Roma dalam kempen kali ini membantu mereka merapatkan jurang dengan pendahulu, Juventus kepada lapan mata meskipun gergasi Turin itu kekal berada di landasan tepat untuk mencatat rekod scudetto keenam berturut-turut.
“Ini adalah kemenangan yang penting buat kami,” kata jurulatih Roma, Luciano Spalletti selepas Roma menjarakkan diri dengan penghuni tangga ketiga, Napoli kepada empat mata.
“Pemain layak menamatkan saingan di tangga kedua dan dengan berbaki lima perlawanan, Napoli kekal sebagai ancaman,” katanya.
Pemain Belanda, Kevin Strootman meledak gol pada minit ke-44 sebelum Radja Nainggolan menambah jaringan seminit kemudian.

Salah meledak dua gol penuh bermakna buat Roma pada minit ke-48 dan 60 sebelum Ahmad Benali menjaringkan gol sagu hati untuk Pescara ketika perlawanan berbaki tujuh minit.
Pescara kini tercicir 15 mata di belakang kedudukan zon selamat yang dihuni Empoli dengan berbaki lima perlawanan.
Secara matematiknya, mereka sudah pun tersingkir daripada Serie A dan bakal ke saingan Serie B selepas hanya meraih 14 mata daripada 33 perlawanan musim ini untuk berada di kedudukan paling bawah liga.
Jurulatih veteran, Zdenek Zeman mencuba segala-galanya untuk menghindarkan kelab daripada tersingkir dengan menggunakan taktikal serangannya.
Ketinggalan dua mata di belakang Palermo, Zeman berkata: “Sekarang, kami akan melakukan yang terbaik untuk tidak menamatkan saingan di tangga tercorot,” katanya. – AFP