Roma rapatkan jurang Juventus

MILAN, 9 Jan – Edin Dzeko telah mensia-siakan banyak peluang ketika AS Roma merapatkan jurang mata ke atas pendahulu Serie A, Juventus hasil kemenangan 1-0 ke atas Genoa dengan gol tunggal perlawanan diperoleh menerusi gol sendiri Armando Izzo.

Kemenangan ke-13 dalam kempen elit Itali itu menyaksikan Roma terus memberi tekanan buat pendahulu, Juventus yang ketika ini hanya dibezakan dengan empat mata namun mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Meskipun pemain Roma gagal menjaringkan gol, jurulatih Roma, Luciano Spalletti enggan mengkritik penyerangnya, Dzeko dan berkata kepada Rai Sport: “Dia menghasilkan permainan yang hebat kerana dia membuatkan pertahanan lawan huru-hara.

“Dia membuktikan dirinya, terutama pada penghujung perlawanan bagi memastikan kami memperoleh keputusan yang diharapkan.”

Penyerang AS Roma, Edin Dzeko membuat percubaan ke gawang ketika menentang pasukan Genoa dalam aksi Serie A kelmarin. – AFP
Penyerang AS Roma, Edin Dzeko membuat percubaan ke gawang ketika menentang pasukan Genoa dalam aksi Serie A kelmarin. – AFP

Dzeko ketika ini hanya satu gol di belakang penjaring terbanyak Serie A, Mauro Icardi yang sudah menjaringkan 14 gol untuk Inter Milan dalam kempen elit Itali itu setakat ini. Namun begitu, dalam perlawanan itu, penyerang tinggi lampai dari Bosnia itu dikawal ketat oleh pertahanan Genoa yang enam minggu lalu berjaya menewaskan Juventus 3-1.

Sekali pun dia memperoleh beberapa peluang terbaik di kedua separuh masa perlawanan, namun kesemua peluang itu gagal disempurnakan Dzeko dengan gol kemenangan diraih pada minit ke-36 berpunca kesilapan Izzo. – AFP