Rombongan At-Taqwa berlepas ke Arab Saudi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Satu rombongan kakitangan At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd telah berlepas ke Arab Saudi, kelmarin, untuk membuat persiapan awal bagi ketibaan bakal-bakal jemaah haji yang mengikuti Pakej At-Taqwa.

Mengetuai rombongan berkenaan ialah Pengarah Urusan, Pengiran Haji Mohd Rosdimar bin Pengiran Haji Omarali dan Ketua Pegawai Operasi, Pengiran Fakhrulrazi bin Pengiran Haji Omarali.

Pengiran Fakhrulrazi ketika ditemu bual Media Permata berkata, rombongan awal berkenaan bertujuan untuk memudahkan lagi segala urusan untuk menyambut bakal jemaah haji di tanah suci nanti, agar semuanya berjalan dengan lancar dan baik ketika berada di Madinah dan Mekah. Sebagai tambahan, beliau juga menasihatkan para bakal jemaah haji agar sentiasa menjaga kesihatan dari saat ini, memastikan semua keperluan tersedia, membawa segala keperluan perubatan jika mempunyai penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi dan sebagainya dan minum banyak air ketika berada di tanah suci nanti.

Tahun ini merupakan kali kedua At-Taqwa mengendalikan operasi haji yang membawa seramai 45 orang bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang merupakan satu peningkatan berbanding tahun lalu iatu seramai 30 orang.

Rombongan kakitangan At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd yang berlepas ke Arab Saudi.