Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rombongan BASMIDA berlepas ke Labuan

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Delegasi seramai 10 orang daripada Persatuan Basmi Dadah Brunei Darussalam (BASMIDA), hari ini, membuat lawatan ke Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia sebagai sebahagian daripada pembangunan kapasiti yang berterusan bagi belia-belia BASMIDA.

    Dalam lawatan dua hari (hingga esok) berkenaan, rombongan akan membuat kunjungan hormat kepada agensi anti dadah kerajaan dan PEMADAM Labuan, yang serupa dengan lawatan kerja mereka ke Limbang pada tahun lalu di mana mereka telah dijemput oleh PEMADAM Limbang.

    Objektif utama lawatan ke Labuan itu adalah untuk mengukuhkan hubungan persahabatan di antara kedua-dua belah pihak dan kerjasama dalam bidang pendidikan pencegahan dadah terutama dalam menyemai nilai-nilai agama Islam pada diri kanak-kanak seawal usia tiga tahun dan ibu bapa serta penjaga sebagai ‘role model’ memberikan pendidikan tidak formal di rumah, sekolah dan masjid. Ahli-ahli BASMIDA juga berniat untuk mengongsikan keprihatinan mereka terhadap kesan negatif penyalahgunaan dadah dan lain-lain bentuk ketagihan di kehidupan moden terhadap institusi kekeluargaan.

    BASMIDA juga ingin memberi penekanan khususnya kepada pendekatan pencegahan pendidikan dadah secara holistik, yang merupakan kunci untuk membasmi penyalahgunaan dadah.

    Peranan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, badan-badan bukan kerajaan, keluarga, ibu bapa dan penjaga di rumah dan juga pihak berkepentingan yang lain adalah penting untuk menerapkan nilai-nilai moral keluarga, agama, masyarakat dan negara yang tinggi dalam mempertahankan pendirian mereka bahawa tiada toleransi terhadap penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan terkawal.

    Rombongan BASMIDA membaca doa sebelum memulakan perjalanan mereka menggunakan feri ke Labuan.
    Rombongan BASMIDA membaca doa sebelum memulakan perjalanan mereka menggunakan feri ke Labuan.

    Terdapat juga isu-isu lain iaitu mengenai undang-undang tembakau dan alkohol serta persoalan adanya e-rokok.

    “Dengan pendekatan utama ini, kita bukan sahaja memberi kuasa kepada kanak-kanak dan belia mengenai bahayanya penyalahgunaan dadah tetapi juga meningkatkan daya tahan mereka terhadap umpan lumayan dan buruk penyalahgunaan dadah,” jelas Yang Di-Pertua BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali ketika ditemui Media Permata di Terminal Serasa, Muara sebelum berlepas ke Labuan.

    Beliau juga menjelaskan bahawa kerjasama di antara kedua-dua belah pihak adalah lebih penting dan relevan bagi menunjukkan perpaduan, bekerjasama secara konstruktif dalam program-program untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah.

    “Kita sebagai negara-negara ASEAN perlu terus menegakkan barisan bersatu dengan dasar dan aspirasi ASEAN iaitu ‘ASEAN Bebas Dadah’,” tekan Yang Di-Pertua BASMIDA sambil menambah, pergerakan global untuk menghalalkan ganja dan hasil daripada mesyuarat antarabangsa tidak bercanggah dengan aspirasi mereka untuk membebaskan sekolah, tempat kerja, keluarga dan masyarakat daripada dadah.

    Beliau juga mengongsikan bahawa BASMIDA berharap untuk terus berhubungan bukan sahaja bagi isu penyalahgunaan dadah dan inisiatif keusahawanan tetapi juga perkongsian kepakaran yang boleh mencetuskan sinergi perkongsian kepakaran bagi memacu sosioekonomi dan pembangunan belia yang mampan dalam negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda