Rombongan belia adakan lawatan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Rombongan seramai 26 orang belia yang mengikuti Program Belia Cinta Tanah Air (PBCTA) telah mengadakan lawatan ke Pusat Sejarah dan Muzium Alat Kebesaran Diraja di ibu negara, hari ini.

Rombongan berkenaan diketuai oleh Setiausaha PBCTA, Awang Abdul Azizi bin Ahmad dan turut disertai oleh Pemangku Pergerakan Belia, Awang Abdul Azeez bin Haji Ahmad selaku penolong setiausaha PBCTA.

Peserta berkenaan sedang menjalani program selama lapan hari dan sepanjang program tersebut pelbagai aktiviti diadakan yang antara lain bertujuan meningkatkan semangat patriotik selain menyuntik semangat belia untuk bergiat aktif dalam mengikuti apa juga aktiviti yang bersifat kepimpinan, kesukarelawan serta pem-bangunan belia.

Bermula 17 hingga 24 Februari, program tahunan itu melibatkan seramai 52 orang belia dari pelbagai latar belakang dan daerah di negara ini.

Peserta PBCTA juga akan menyertai Perbarisan Lalu sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35.

Turut hadir semasa lawatan itu ialah Pegawai Sejarah Kanan Pusat Sejarah Brunei, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad.

Gambar ramai para peserta PBCTA semasa mengadakan lawatan ke Pusat Sejarah Brunei, kelmarin.