Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Sempena bulan Ramadan yang mulia, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan majlis membaca Surah Yasin dan bertahlil khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini.
Hadir mengetuai rombongan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan bacaan Surah Yasin yang dipimpin oleh guru agama terlatih di Jabatan Pembangunan Masyarakat, Haji Nurrmatiin bin Haji Abu Bakar dan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia, Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, pengarah-pengarah bahagian dan jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya, persatuan-persatuan belia, persatuan belia-belia masjid, persatuan-persatuan sukan, jurulatih-jurulatih sukan, warga Pusat Kegiatan Warga Emas, pihak pertubuhan bukan kerajaan serta pihak berkepentingan yang lain.